KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan dan Pentadbir Tanah Daerah Pasir Mas diperintah membayar ganti rugi berjumlah RM17.46 juta kepada 348 peserta FELCRA Bukit Tandak berhubung pengeluaran tender pembalakan pokok getah milik mereka yang tidak sah.
Perintah itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman, semalam selepas membenarkan tuntutan peserta berkenaan menerusi saman sivil yang difailkan Abdul Latiff Putih dan 347 yang lain pada 2020.
Saman itu, antara lain, dinamakan terhadap Kerajaan Negeri Kelantan dan Pentadbir Tanah Daerah Pasir Mas.
Berdasarkan rekod pengurusan kes mahkamah, selain ganti rugi RM17.46 juta, mahkamah turut memerintahkan bayaran RM19,800 bagi kos penyediaan laporan dan RM20,000 bagi kos tindakan undang-undang.
Mahkamah turut mengenakan faedah lima peratus terhadap jumlah ganti rugi berkenaan sehingga penyelesaian penuh.
Kes itu berkaitan peserta rancangan FELCRA Bukit Tandak dan pengeluaran tender bagi kerja menebang pokok getah milik peserta.
Sementara itu, peguam plaintif, Mohd Nasir Abdullah menyifatkan keputusan berkenaan sebagai kemenangan bermakna buat anak guamnya.
Katanya, keputusan itu memberi kelegaan yang sekian lama dinantikan peserta selepas memperjuangkan tuntutan berkenaan di mahkamah sejak 2020.







