
MUKAH – Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg meluangkan masa menyertai aktiviti berjalan pantas (brisk walk) dan bersarapan bersama penduduk setempat bersempena dengan Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Mukah, pada Sabtu.
Turut memeriahkan aktiviti riadah berkenaan ialah Timbalan Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Mukah, Datuk Hanifah Hajar Taib, bersama barisan kepimpinan negeri dan tempatan.
Aktiviti santai itu dimulakan dengan sesi senaman ringan sebelum para peserta berjalan sejauh kira-kira 1.3 kilometer dari Hotel Kingwood merentasi kawasan sekitar Pasar Mukah, dan berakhir di kedai makan Stabak Mukah untuk sesi sarapan.
Suasana di Stabak Mukah yang menjadi antara lokasi sarapan popular masyarakat setempat itu turut memperlihatkan pergaulan mesra pelbagai kaum, sekali gus mencerminkan keharmonian komuniti di bandar berkenaan.

Menurut hantaran yang dikongsikan oleh Hanifah menerusi laman Facebook rasminya, program riadah itu memberi peluang keemasan kepada penduduk untuk berinteraksi secara terus dengan Premier Sarawak dalam suasana yang lebih mesra dan tidak formal.
“Ia (program ini) turut menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan antara barisan kepimpinan negeri dengan masyarakat setempat menerusi aktiviti bersama,” katanya.
Selesai program riadah tersebut, Abang Johari dijadualkan menyempurnakan majlis perasmian Program Sarawakku Sayang Bahagian Mukah di Dataran Pehin Setiaraja, yang padat dengan pelbagai pengisian untuk kemudahan masyarakat setempat dan kawasan sekitarnya.





