KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Lee Chean Chung sudah lebih setahun tidak aktif dalam parti berkenaan.
Beliau yang juga berkata, Ahli Parlimen Petaling Jaya itu tidak menghadiri mesyuarat parti dan Kongres Nasional PKR dalam tempoh berkenaan, selain tidak lagi terbabit dalam urusan parti.
“Dia dah berhenti lama… dah setahun. Dia tida pernah hadir mesyuarat. Kongres parti pun tak hadir dan tak pernah campur soal urusan parti. Jadi, sesuailah.
“Kalau dah tak minat, tak ada masalah, pergi dengan baik dan terima kasih atas sumbangan selama ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Kuarters Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi, di sini, hari ini.
Anwar berkata, sumbangan Chean Chung sepanjang berada dalam PKR tetap dihargai.
Pada masa sama, beliau menegaskan perkembangan berhubung kedudukan Ahli Parlimen berkenaan tidak menjejaskan kepentingan penduduk Petaling Jaya.
Katanya, projek pembangunan dan kemudahan rakyat termasuk sekolah, sistem perparitan, masjid, kuil serta jalan raya akan terus dilaksanakan seperti biasa.
Terdahulu, Anwar menunaikan solat Jumaat di Masjid Abdullah Zubair, Pangkalan Udara Kuala Lumpur.
Ditanya mengenai kemungkinan tindakan undang-undang terhadap Chean Chung, Anwar berkata, perkara itu akan diputuskan Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh.
Chean Chung sebelum ini mengumumkan peletakan jawatan tanpa syarat sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), berkuat kuasa serta-merta.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima keputusan penggantungan pada 30 September lalu, selain mendakwa akses terhadap peruntukan RM3 juta bagi kawasan Petaling Jaya sebelum ini disekat.





