
SARATOK – Seorang wanita warga tempatan berusia 23 tahun ditahan selepas disyaki bertindak sebagai ejen judi tambah nilai dalam talian di sebuah kedai runcit di Ulu Krian, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, tangkapan menerusi Op Dadu itu dilakukan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok yang diketuai Inspektor Hendry pada jam 6.55 petang.
“Wanita berkenaan ditahan ketika berada di kaunter dalam premis tersebut kerana disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian tambah nilai dalam talian.
“Polis turut merampas sebuah telefon pintar berwarna hijau, sekeping keratan kertas yang tercatat nombor ID judi tambah nilai dalam talian serta sejumlah wang tunai pelbagai nilai,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut Mathew, hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku menjadi ejen jualan judi tersebut bagi mendapatkan pendapatan sampingan memandangkan dia tidak mempunyai pekerjaan tetap.
Katanya, suspek yang berasal dari Ulu Krian itu dipercayai mula menjalankan kegiatan berkenaan sejak seminggu lalu, iaitu selepas mula bekerja di kedai runcit tersebut dengan menyasarkan pelanggan di sekitar kawasan berkenaan.
Beliau menambah, ketika serbuan dilakukan, suspek hanya berseorangan di dalam premis dan hasil ujian saringan awal air kencing terhadapnya didapati negatif dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan kertas siasatan bagi kes tersebut disifatkan telah selesai.





