PUTRAJAYA – Mahasiswa dan institusi pengajian tinggi (IPT) akan turut diberi perhatian dalam Belanjawan 2027 yang sedang dimuktamadkan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, penyediaan belanjawan itu mengambil kira keperluan pelbagai sektor dan kelompok masyarakat, termasuk petani, nelayan, Orang Asli serta bidang teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
“Insya-Allah, tentunya mahasiswa dan universiti juga tergolong dalam (belanjawan) itu. Mudah-mudahan saya dapat sampaikan apa yang mampu dalam keterbatasan yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa Negara di sini, malam tadi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, proses memuktamadkan Belanjawan 2027 memerlukan penelitian rapi berikutan pelbagai permintaan dikemukakan ribuan persatuan, ratusan jabatan dan puluhan kementerian.
Katanya, setiap sektor mempunyai keperluan tersendiri yang perlu dipertimbangkan bagi memastikan belanjawan itu dapat memenuhi keperluan rakyat secara menyeluruh.
“Semuanya adalah munasabah dan rasional. Daripada sawah-sawah (petani) di Kedah, nelayan di Terengganu, ada Orang Asli, rumah Iban di Sarawak, bidang teknologi, bidang AI, semuanya menuntut perhatian,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kesibukannya menyiapkan belanjawan itu menyebabkan hampir semua acara yang dijadualkan minggu ini terpaksa dibatalkan.
Bagaimanapun, beliau tetap menghadiri majlis berkenaan kerana mahu memberikan perhatian khusus kepada mahasiswa.
“Saya batalkan semua acara tetapi acara malam ini saya teruskan. Khusus mahasiswa ini, saya rasa saya mahu hadir,” katanya.
Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan pada 9 Oktober ini di Dewan Rakyat dan merupakan Belanjawan MADANI Kelima serta belanjawan kedua di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Ia akan terus berpandukan tiga tonggak Ekonomi MADANI, iaitu Menaikkan Siling pertumbuhan negara, Menaikkan Lantai kesejahteraan hidup rakyat dan Memacu Pembaharuan Tatakelola pentadbiran negara.






