
KOTA KINABALU – BIGSABAH Sale 2026 menyasarkan lebih 100,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dari 30 Oktober hingga 1 November ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur BIGSABAH Sale 2026, Datuk Dr Rosmawati Lasuki berkata, edisi kali ini menampilkan lebih 600 reruai dengan penekanan terhadap penglibatan perniagaan dan akses kepada pasaran serantau.
“Sasaran itu berdasarkan pencapaian BIGSABAH Sale 2025 yang merekodkan 80,615 pengunjung dengan 650 reruai.
“Cita-cita kami bukan sekadar untuk menarik jumlah pengunjung yang lebih besar, tetapi mewujudkan nilai lebih besar daripada platform yang telah dibina.
“Pameran yang berjaya tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan jumlah pengunjung, tetapi juga melalui perniagaan yang dijana, hubungan yang diwujudkan serta peluang yang berterusan selepas pameran berakhir,” ujarnya pada sidang media BIGSABAH Sale 2026 di sini, pada Isnin.

Rosmawati yang juga Ketua Pegawai Eksekutif SICC berkata, tema ‘Across Markets, Beyond Borders’ mencerminkan kedudukan strategik Sabah dalam ASEAN Timur serta hubungan geografi dan ekonomi dengan Brunei, Indonesia dan Filipina.
“BIGSABAH Sale 2026 turut memberi penekanan lebih besar kepada Business-to-Business (B2B), selain mengekalkan asas Business-to-Consumer (B2C).
“Pendekatan itu membolehkan pempamer berhubung dengan pembeli berpotensi, pengedar, peruncit, pengimport, pelabur dan rakan strategik.
“Melalui padanan perniagaan dan program berorientasikan perdagangan, pempamer mempunyai peluang untuk mewujudkan hubungan perniagaan yang boleh diteruskan selepas acara berakhir,” kongsinya.
Tambah Rosmawati, BIGSABAH Sale 2026 turut dijangka menyumbang kepada aktiviti ekonomi dalam sektor penginapan, pengangkutan, makanan dan minuman, peruncitan serta perkhidmatan tempatan.
Antara program yang dijadualkan ialah Big Bad Wolf Book Fair, AI Business Scale-Up Bootcamp, CULT Car Culture Festival 2026, Agro Forum and Trade Connect, pertunjukan fesyen, bengkel protokol dan etika makan serta pertandingan e-sukan dan bakat.



