
KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasarkan enam daripada setiap 10 ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencapai tahap Kecukupan Pendapatan Persaraan dengan penanda aras Simpanan Asas sebanyak RM390,000 pada usia 60 tahun menjelang 2030.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini hampir empat daripada 10 ahli KWSP berada di landasan untuk mencapai penanda aras berkenaan di bawah Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan KWSP.
“Ini merupakan satu kemajuan tetapi masih terlalu ramai rakyat Malaysia yang berisiko kehabisan simpanan sepanjang tempoh persaraan yang mungkin mencapai selama 20 hingga 25 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2026 anjuran KWSP di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn.

Anwar berkata, liputan perlindungan sosial turut menjadi cabaran berikutan jutaan rakyat Malaysia bekerja di luar sektor pekerjaan formal konvensional, sedangkan sistem perlindungan sosial negara sebahagian besarnya dirangka berasaskan sektor berkenaan.
Menurutnya, sistem negara perlu berkembang seiring dengan perubahan sifat pekerjaan.
“Terdapat satu lagi realiti yang perlu kita hadapi. Bagi penggubal dasar, persaraan mungkin merupakan perancangan untuk tempoh 30 tahun.
“Bagi isi rumah yang menguruskan perbelanjaan makanan, sewa rumah dan persekolahan, tempoh perancangan mungkin hanya sehingga hujung minggu,” katanya.
Beliau berkata, meminta rakyat membuat persediaan untuk tahun 2048 ketika mereka sendiri tidak pasti mengenai keadaan kewangan pada bulan berikutnya bukan sekadar isu celik kewangan, sebaliknya turut berkaitan kemampuan kewangan.
Anwar berkata, jaminan persaraan bermula dengan pendapatan, pekerjaan yang baik dan keupayaan untuk menabung secara konsisten, justeru agenda persaraan perlu bergerak seiring dengan agenda gaji.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM1.26 bilion untuk kebajikan warga emas yang memberi manfaat kepada 180,000 rakyat Malaysia berusia, selain memperluas pusat aktiviti bagi memastikan peningkatan usia tidak semestinya membawa kepada pengasingan sosial.
Menurutnya, Malaysia juga memerlukan sistem penjagaan berperingkat, bermula dengan sokongan komuniti, makanan berkhasiat dan bantuan penjagaan di rumah hingga kepada penjagaan harian, penjagaan di rumah serta penjagaan di pusat bagi warga emas yang uzur atau menghidap demensia.
Beliau menegaskan akses kepada penjagaan perlu berdasarkan keperluan dan bukan semata-mata kemampuan untuk membayar.
“Kerajaan perlu menerajui dengan menetapkan piawaian, memperkukuh jaringan keselamatan sosial dan memastikan perkhidmatan asas disediakan. Namun, kejayaan yang berkekalan memerlukan komitmen bersama,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi KWSP, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, persediaan menghadapi masa depan memerlukan usaha bersama kerajaan, sektor perniagaan, komuniti, keluarga dan individu.
Katanya, setiap pihak memainkan peranan dalam mewujudkan keadaan yang membolehkan rakyat menjalani kehidupan yang baik pada setiap peringkat usia.
Beliau berkata, institusi dan sistem juga perlu berkembang bagi membolehkan rakyat terus bekerja, belajar, menyumbang dan berhubung merentasi generasi.
Mohd Zuki berkata, pengenalan i-Legasi mencerminkan kepentingan sokongan antara generasi dengan membolehkan ahli yang layak dan mempunyai simpanan persaraan mencukupi memindahkan sebahagian simpanan ke akaun KWSP ahli keluarga terdekat.
Menurutnya, langkah itu dapat membantu memperkukuh jaminan persaraan merentasi generasi.
Beliau berkata, Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan pula melengkapi usaha berkenaan dengan menetapkan penanda aras jelas bagi Simpanan Asas, Simpanan Mencukupi dan Simpanan Dipertingkat.
Katanya, penanda aras itu memberikan gambaran kepada ahli mengenai hubungan antara jumlah simpanan yang dikumpulkan dengan pendapatan bulanan yang boleh disokong oleh simpanan berkenaan.
Bertemakan The Long Horizon, edisi ke-13 Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2026 dianjurkan bersama KWSP dan Kementerian Kewangan.
Forum selama dua hari itu akan berakhir esok.
