
MIRI – Keselamatan jalan raya bukan sekadar bergantung pada pematuhan peraturan lalu lintas, sebaliknya menuntut setiap pengguna sentiasa berwaspada terhadap keadaan sekeliling.
Datuk Bandar Miri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, amalan pemanduan defensif amat penting bagi membantu mengelakkan kemalangan serta menjangka sebarang kemungkinan bahaya di jalan raya.
Susulan itu, katanya, pengajar memandu perlu terus memainkan peranan penting dalam membentuk kesedaran serta tabiat memandu secara selamat, khususnya dalam kalangan pemandu baharu.
“Saya berharap persatuan ini akan terus menerapkan sikap pemanduan yang bertanggungjawab kepada para pelatih demi menjadikan jalan raya kita lebih selamat untuk semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-43 Persatuan Pengajar Memandu Kereta (PPMK) Miri di Grand Palace pada Isnin.
Yii turut menegaskan, pemanduan defensif bukan sahaja tertumpu pada usaha mengelak perlanggaran, tetapi meliputi keupayaan pemandu menjangka risiko dan melindungi diri daripada tindakan luar jangka pengguna lain.
Katanya, usaha berterusan bagi mendidik pemandu mengenai tanggungjawab di jalan raya mampu menyumbang ke arah pembentukan budaya pemanduan yang lebih berhemah.
Beliau pada masa sama menaruh harapan agar PPMK terus proaktif memastikan setiap pelatih dilengkapi pengetahuan dan sikap yang betul sebelum mula memandu di jalan raya.









