
KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa semua pihak tidak mempolitikkan kemelut institusi diraja Negeri Sembilan, sebaliknya menghormati kedudukan Raja-Raja Melayu dan memastikan sebarang pertikaian diselesaikan mengikut lunas undang-undang.
Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, sebarang pertikaian membabitkan institusi diraja perlu ditangani berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan proses adat yang sah.
Beliau berkata, kepentingan politik tidak seharusnya mengatasi prinsip undang-undang, adab serta kedudukan institusi diraja yang menjadi asas pemerintahan negara.
“Sebarang pertikaian hendaklah ditangani melalui proses yang sah tanpa menjatuhkan kehormatan baginda dan mencemar kemuliaan institusi diraja,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat AMK, hari ini.
Menurutnya, polemik yang berlaku di Negeri Sembilan adalah perkara serius dan menuntut semua pihak mengambil pendekatan lebih berhemah bagi memastikan kemuliaan institusi diraja terus terpelihara.
Beliau turut menegaskan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sebagai Ketua Agama Islam negeri perlu dihormati, selain memastikan sebarang penyelesaian berlandaskan prinsip keadilan dan proses adat.
“Malaysia tertegak dengan prinsip negara hukum. Semua pihak wajib mematuhi Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan proses adat yang sah.
“Keangkuhan politik tidak wajar digunakan untuk menginjak prinsip asas yang sudah termaktub sejak sekian lama,” katanya.
Dalam pada itu, AMK turut menggesa Kerajaan MADANI membentangkan laporan berkaitan FELDA, MARA dan NAFAS yang dikaitkan dengan isu penyelewengan, salah guna kuasa serta kehilangan aset.
Muhammad Kamil berkata, rakyat berhak mengetahui jumlah kerugian yang ditanggung, perkembangan usaha pemulihan aset serta tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.






