Prinsip kedaulatan undang-undang perlu dipertahan

KUALA LUMPUR – Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin Naustion Ismail menegaskan prinsip kedaulatan undang-undang dan tatakelola yang baik mesti dipertahankan dalam setiap urusan pentadbiran negara.

Sebagai contoh katanya, isu tindakan penggantungan tugas serta-merta terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal oleh Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim baru-baru ini.

Beliau berkata, ia memperlihatkan betapa pentingnya setiap tindakan pentadbiran dibuat berlandaskan pemahaman jelas terhadap bidang kuasa dan peruntukan undang-undang.

Beliau berkata, ketetapan Bahagian Perlembagaan dan Undang-Undang Negeri, Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas kedua-dua pegawai tinggi berkenaan.

Asas perundangannya jelas, di mana Perkara 37 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 menetapkan bahawa urusan pelantikan mahupun penggantungan tugas bagi kedua-dua jawatan utama ini berada di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam serta Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.

“Kejelasan perundangan yang ditegaskan oleh Kerajaan Persekutuan melalui AGC mencerminkan komitmen untuk memastikan prinsip tatakelola, keadilan dan kedaulatan undang-undang terus dipelihara.

“Tiada mana-mana pihak boleh bertindak secara unilateral melangkaui bidang kuasa serta peruntukan perlembagaan yang telah ditetapkan.

“Dalam pentadbiran negara, setiap kuasa datang bersama batas dan tanggungjawab.

“Menghormati batas tersebut adalah asas kepada kekuatan institusi dan keyakinan terhadap sistem pentadbiran kita,” katanya, seperti dilapor Berita Harian.

Sebelum ini media melaporkan Mesyuarat Khas Exco Negeri Sembilan Selasa lalu sebulat suara memutuskan untuk menggantung tugas Mohd Zafir dan Muzalmah, berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Besar dipetik berkata Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Masri Razali, dinamakan untuk menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri sehingga pengganti baharu dinamakan Ketua Setiausaha Negara.

Pada Rabu, media melaporkan Mohd Zafir, tetap menjalankan tugasnya seperti biasa dan tidak menerima sebarang surat rasmi berkenaan penggantungan tugas oleh kerajaan negeri.

Beliau juga akur dengan arahan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar untuk terus kekal bertugas di Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata setiap pegawai awam yang menjalankan amanah dan tanggungjawabnya mesti dipelihara daripada sebarang tindakan yang tidak melalui saluran serta proses perundangan yang sewajarnya.

Seandainya kedaulatan undang-undang dijamin, katanya pentadbiran negara akan kekal stabil, teratur dan berlandaskan Perlembagaan serta undang-undang.

“Semangat amanah menjadi benteng penting dalam memastikan integriti institusi pentadbiran serta keselamatan perkhidmatan awam terus terpelihara daripada sebarang tindakan yang dibuat tanpa kuasa yang sah.

“Inilah asas sebuah pentadbiran yang kukuh… kuasa dilaksanakan mengikut undang-undang, institusi dihormati dan amanah kepada rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Related Posts

PERSADA bakal diperluas seluruh negara, NADI sokong sektor kesihatan

PADANG BESAR – Pelaksanaan Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA) di Perlis berjaya mengurangkan masa menunggu pesakit dengan lebih 86 peratus daripada mereka dapat bertemu doktor dalam tempoh…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Regatta Subis@Niah 2026 perkasa warisan, ekonomi komuniti setempat

NIAH – Regatta Subis@Niah 2026 bukan sekadar acara perlumbaan perahu, sebaliknya menjadi wadah memperkukuh semangat kebersamaan masyarakat selain memelihara warisan sukan air yang diwarisi sejak turun-temurun. Timbalan Menteri Luar Negeri…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

PERSADA bakal diperluas seluruh negara, NADI sokong sektor kesihatan

PERSADA bakal diperluas seluruh negara, NADI sokong sektor kesihatan

Regatta Subis@Niah 2026 perkasa warisan, ekonomi komuniti setempat

Regatta Subis@Niah 2026 perkasa warisan, ekonomi komuniti setempat

Kerajaan tanggung caj UMP mulai 1 Oktober

Kerajaan tanggung caj UMP mulai 1 Oktober

Kemajuan perlu dipandu iman, akhlak dan tanggungjawab – Anwar

Kemajuan perlu dipandu iman, akhlak dan tanggungjawab – Anwar

Operasi penguatkuasaan Imigresen Sabah tahan 156 PATI

  • By Fandi
  • September 26, 2026
Operasi penguatkuasaan Imigresen Sabah tahan 156 PATI

Prinsip kedaulatan undang-undang perlu dipertahan

Prinsip kedaulatan undang-undang perlu dipertahan