
NIAH – Regatta Subis@Niah 2026 bukan sekadar acara perlumbaan perahu, sebaliknya menjadi wadah memperkukuh semangat kebersamaan masyarakat selain memelihara warisan sukan air yang diwarisi sejak turun-temurun.
Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Penasihat Regatta Subis, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, penganjuran acara itu turut membuka ruang untuk memperkenalkan Niah dan Daerah Subis kepada masyarakat luar menerusi kekayaan sejarah, budaya serta alam semula jadinya.
Menurut beliau, pengiktirafan Taman Negara Niah sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO merupakan satu kebanggaan yang perlu dipelihara dan dimanfaatkan sebagai aset penting kawasan berkenaan.
“Regatta Subis bukan sekadar lumba perahu. Di sebalik perlumbaan ini ada semangat kesukanan, persahabatan dan kerjasama, namun yang paling penting ialah semangat kita untuk berkumpul sebagai satu komuniti,” katanya ketika berucap pada Program Regatta Subis@Niah 2026 di Waterfront Niah, Sepupok, pada Sabtu.

Beliau berkata, penganjuran regatta juga memberi peluang kepada generasi muda untuk mengenali serta menghargai tradisi dan sukan air yang menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat setempat.
Katanya, sungai bukan sahaja mempunyai nilai dari sudut alam sekitar, malah memainkan peranan penting dalam sejarah, kehidupan dan budaya masyarakat di kawasan berkenaan.
“Kalau tradisi ini kita terus hidupkan, generasi akan datang juga dapat merasai kemeriahan dan semangat Regatta Subis seperti yang kita raikan pada pagi ini,” katanya.
Dalam pada itu, Lukanisman berkata, kemeriahan Regatta Subis@Niah 2026 turut memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat menerusi peningkatan kehadiran pengunjung sepanjang program berlangsung.

Katanya, peniaga, pengusaha makanan dan usahawan tempatan berpeluang menjana pendapatan selain memperkenalkan produk mereka kepada pengunjung dari luar kawasan.
“Kita mahukan acara seperti Regatta ini memberi manfaat dalam semua aspek yang dapat dirasai oleh seluruh masyarakat,” ujarnya.
Regatta Subis@Niah 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 25 hingga 27 September itu menghimpunkan pelbagai aktiviti dan pertandingan sukan air di Waterfront Niah, Sepupok.
Lukanisman yang juga Ahli Parlimen Sibuti turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Daerah Subis, Majlis Daerah Subis, agensi kerajaan, ketua masyarakat dan ketua kaum, pasukan keselamatan, sukarelawan, penaja, media serta seluruh komuniti Niah dan Subis atas komitmen menjayakan penganjuran berkenaan.
Beliau turut menyeru semua peserta supaya menjunjung semangat kesukanan, mengutamakan keselamatan serta menghormati antara satu sama lain sepanjang pertandingan.
“Menang atau kalah adalah adat dalam pertandingan. Yang paling penting kita bertanding dengan baik, menjaga keselamatan dan menghormati antara satu sama lain,” tambahnya.
Beliau berharap Regatta Subis@Niah terus menjadi acara yang dinanti-nantikan masyarakat dan berkembang sebagai antara acara penting yang mengangkat identiti, warisan serta potensi pelancongan Daerah Subis dan Niah.







