
TAWAU – Operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia di beberapa kawasan empat daerah negeri ini berjaya menahan seramai 156 orang pendatang asing tanpa izin (PATI).
Imigresen Sabah dalam kenyataan memaklumkan, operasi selama lima hari bermula Isnin hingga Jumaat itu menyasarkan lokasi strategik PATI di Tawau, Semporna, Kota Kinabalu, Kudat dan Ranau.
“Hasil pemeriksaan daripada 322 orang, seramai 156 orang terdiri daripada warganegara Filipina yang melibatkan 40 lelaki, 40 perempuan, 38 kanak-kanak lelaki dan 22 kanak-kanak perempuan.
“Seterusnya warganegara Indonesia empat lelaki, tiga wanita serta masing-masing dua kanak-kanak lelaki dan perempuan selain lima lelaki warga Pakistan,” menurut Imigresen Sabah, pada Jumaat.

Tegas Imigresen Sabah, pihaknya komited menjalankan operasi sedemikuan bagi membanteras kehadiran PATI serta mengekang penyalahgunaan kemudahan imigresen.
Justeru, orang awam juga dinasihat agar tidak menggaji atau membantu warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.
Sebaliknya, orang awam diseru melaporkan kegiatan PATI kepada saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah.







