
SARATOK – Sebanyak 24 saman PDRM (K) 257 dikeluarkan manakala 115 individu serta 100 buah kenderaan diperiksa menerusi Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah di sekitar Pekan Saratok, Roban, dan Kilometer 408 Lebuhraya Pan Borneo, pada Khamis.
Operasi yang digerakkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok bermula jam 3 hingga 5 petang itu memberi tumpuan khusus di kawasan ‘hotspot’ jenayah bagi membanteras kegiatan kecurian kenderaan dan pelbagai kes curi yang lain.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, operasi bersepadu tersebut bertujuan untuk menekan kadar jenayah indeks selain menzahirkan kehadiran polis bagi meningkatkan rasa selamat dalam kalangan masyarakat.
“Pemeriksaan secara terperinci terhadap individu dan kenderaan yang mencurigakan turut dilaksanakan bagi mengesan mana-mana individu yang dikehendaki berhubung kes jenayah, narkotik, mahupun jenayah komersial,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, pemeriksaan berasingan turut dijalankan di sebuah premis disyaki menjalankan aktiviti perjudian di kawasan Roban Cafe.
Mengulas mengenai rekod pemeriksaan kenderaan, Mathew memberitahu bahawa daripada 100 buah kenderaan yang diperiksa, ia merangkumi pelbagai kategori seperti kereta, motosikal, kenderaan pacuan empat roda (4WD/pikap), van, lori, dan bas.
Beliau menambah, keseluruhan operasi pencegahan jenayah itu berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini, meskipun dalam keadaan cuaca yang agak berjerebu sepanjang tempoh tugasan.



