SEREMBAN – Pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan dibatalkan berkuat kuasa serta-merta pada 20 September 2026.
Keputusan itu diperkenankan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, mengikut Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Pembatalan itu direkodkan dalam Warta Kerajaan Negeri Sembilan, N.S. P.U. 18 yang diterbitkan sebagai tambahan Perundangan, Jilid 79, No. 39.
Warta berkenaan menyatakan kesemua Exco terbabit sebelum ini mengangkat dan menandatangani sumpah serta ikrar taat setia di hadapan Tuanku Muhriz pada 7 Ogos 2026.
Menurut warta itu, keputusan menarik balik perkenan dibuat selepas kesemua mereka didapati melanggar ikrar taat setia berkenaan.
“Dan bahawasanya memandangkan kalian telah melanggar ikrar taat setia tersebut MAKA, Beta dengan ini menarik balik perkenan Beta dan membatalkan pelantikan kalian sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan,” menurut warta itu.
Mereka ialah Datuk Mohd Faizal Ramli (Kemajuan Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah), Datuk Zaifulbahri Idris (Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Modal Insan), Datuk Mustapha Nagoor (Pembangunan Belia dan Sukan), Siow Kong Choon (Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Hal Ehwal Bukan Islam) serta Siti Nur Umaira Hasim (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).
Turut terbabit Datuk Mohd Asna Amin (Perindustrian, Teknologi, Inovasi dan Digital), Datuk Mohd Razi Mohd Ali (Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup), Suhaimizan Bizar (Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO), Mohd Fairuz Mohd Isa (Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan) serta Datuk Razali Abu Samah (Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan).
Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 turut memperuntukkan bahawa seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, selain Menteri Besar, memegang jawatan selama diperkenan Yang di-Pertuan Besar.
Pembatalan pelantikan itu menjadikan kesemua 10 Exco berkenaan tidak lagi memegang jawatan berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan dalam warta.

