SEREMBAN – Lebih 50 anggota polis dilihat berkawal dalam keadaan bersiap sedia di sekitar Balai Undang Sungai Ujong, Ampangan, pada Rabu susulan kehadiran Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar dan Undang Yang Empat yang dipertikai di lokasi berkenaan.
Kawalan ketat itu turut menyaksikan beberapa trak polis ditempatkan di kawasan sekitar balai, termasuk di bahagian belakang premis, selain kehadiran anggota dalam jumlah yang agak ramai.
Situasi berkenaan menjadi perhatian selepas pihak media yang hadir ke lokasi bagi mendapatkan perkembangan terkini tidak dibenarkan menghampiri balai dan diminta beredar dari kawasan berkenaan.
Difahamkan, Tunku Nadzaruddin bersama Undang Yang Empat kini berada di dalam Balai Undang Sungai Ujong, namun setakat ini tiada kenyataan rasmi dikeluarkan berhubung tujuan pertemuan berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, pertemuan Tunku Nadzaruddin bersama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dijadualkan berlangsung di Galeri Diraja Tuanku Ja’afar pada jam 9 pagi tadi turut dibatalkan.
Pembatalan pertemuan itu difahamkan dibuat atas faktor keselamatan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai situasi keselamatan yang sedang berlaku di sekitar kediaman rasmi Undang Luak Sungai Ujong berkenaan.
Tinjauan di lokasi mendapati kawalan polis masih berterusan, dengan anggota ditempatkan di beberapa bahagian sekitar kawasan balai bagi mengawal pergerakan orang awam dan pihak luar.
Sementara itu, usaha mendapatkan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad bagi mendapatkan penjelasan mengenai kawalan ketat berkenaan belum berhasil apabila beliau tidak dapat dihubungi sehingga kini.







