Penderhakaan moden UMNO-PN, usaha gulingkan Tuanku Muhriz wajar dikenakan tindakan – Pakar

USAHA menggulingkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir oleh kepemimpinan gabungan UMNO-Perikatan Nasional (PN) negeri bersama Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim dan barisan Exco disifatkan sebagai ‘penderhakaan moden’ yang amat biadab serta belum pernah disaksikan dalam sejarah negeri itu.

Pakar undang-undang, Prof Emeritus Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, tindakan sedemikian tidak boleh dibiarkan dan pihak yang terbabit wajar dikenakan tindakan tegas jika didapati melanggar undang-undang serta sumpah dan ikrar taat setia kepada Tuanku Muhriz.

“Bagi saya, ini penderhakaan secara moden. Sepanjang saya melihat perkembangan di Malaysia, khususnya negeri yang mempunyai raja, saya tidak pernah melihat perkara seperti ini dilakukan secara terang-terangan.

“Kita bercakap mengenai raja sebuah negeri. Kalau ada usaha untuk menggulingkan raja yang masih diiktiraf, itu perkara yang sangat serius, biadab dan tidak bertanggungjawab,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) pada Selasa.

Beliau berkata, tindakan Menteri Besar dan Exco yang menerima serta menyokong proklamasi 19 April 2026 bagi menukar kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar menimbulkan persoalan besar, khususnya selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menyatakan proklamasi berkenaan tidak sah.

AGC pada 17 September lalu menyatakan proklamasi itu tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS), selain menegaskan Menteri Besar dan MMKN tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.

“Macam mana satu proklamasi yang tidak sah boleh diterima oleh Exco dan Menteri Besar untuk menjadikannya sah dan menurunkan Tuanku?

“Ini bukan soal pejabat awam biasa. Kita bercakap mengenai raja sebuah negeri,” katanya.

Noor Aziah berkata, tindakan berkenaan juga tidak wajar dilihat sebagai perselisihan politik biasa kerana ia membabitkan institusi raja dan sumpah taat setia yang dilafazkan oleh Menteri Besar serta Exco.

Menurutnya, Menteri Besar dan Exco mengangkat sumpah di hadapan Tuanku sebelum menjalankan tugas masing-masing, justeru ikrar berkenaan tidak sepatutnya dipandang ringan.

“Menteri Besar angkat sumpah depan Tuanku. Kemudiannya Exco angkat sumpah. Angkat sumpah bukan perkara main-main.

“Kalau mereka sudah bersumpah untuk taat setia kepada Tuanku dan institusi raja, tetapi kemudian mengambil tindakan yang bertentangan, bagi saya itu satu perkara yang sangat serius,” katanya.

Kenyataan Istana Negeri Sembilan pada 20 September lalu memaklumkan Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan semua Exco berkuat kuasa serta-merta selepas mendapati mereka memungkiri sumpah jawatan.

Istana turut menyatakan kesemua Exco berkenaan mengangkat sumpah dan menandatangani ikrar taat setia pada 7 Ogos lalu sebelum dilantik menganggotai MMKN.

Menurut Istana, Perkara XXXVIII(5) UUTKNS 1959 memperuntukkan seseorang Ahli MMKN selain Menteri Besar memegang jawatan selagi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar.

Dalam pada itu, Noor Aziah turut mempersoalkan pendirian kerajaan negeri yang berubah-ubah berhubung kesahan proklamasi berkenaan.

Beliau berkata, pada satu ketika pihak terbabit mempertikaikan kesahan proklamasi sebelum kemudian mengambil pendirian bahawa ia sah dan mengarahkan supaya ia diwartakan.

“Flip-flop. Sekejap kata tidak sah, kemudian sah. Mana boleh macam itu?

“Kalau kita sudah buat analisis dan proklamasi itu sah, bagaimana pula perkara yang tidak sah itu boleh diterima untuk dijadikan asas menurunkan raja?” katanya.

Bagaimanapun, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan pada 17 September lalu memaklumkan kerajaan negeri tidak akan mengambil tindakan pewartaan atau pelaksanaan terhadap proklamasi 19 April, selaras dengan pandangan AGC bahawa proklamasi itu tidak sah.

Noor Aziah berkata, pihak yang terbabit sepatutnya menghadap Tuanku Muhriz dan menarik balik tindakan yang telah dilakukan bagi membolehkan pentadbiran negeri kembali berjalan seperti biasa.

“Sepatutnya mereka menghadap dan menarik balik apa yang telah mereka buat supaya pentadbiran kerajaan negeri dapat diteruskan.

“Kalau benar menghormati dan mahu mempertahankan institusi raja, saya rasa ini bukan caranya. Mereka perlu fikir semula,” katanya.

Beliau turut menyifatkan Tuanku Muhriz selama ini dihormati serta disayangi oleh rakyat Negeri Sembilan dan tidak pernah berdepan kontroversi seumpama itu, justeru usaha untuk menurunkan baginda dianggap amat serius.

Noor Aziah berkata, sekiranya benar terdapat usaha menggulingkan raja dan tindakan itu dilakukan bertentangan dengan peruntukan undang-undang serta sumpah jawatan, pihak terbabit wajar berdepan tindakan mengikut undang-undang.

Jelasnya, tindakan tegas penting bagi memastikan kedudukan institusi raja dan keluhuran perlembagaan terus dihormati.

Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) sebelum ini turut menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar yang sah serta pengerusi DKU, selain menyatakan Exco dan kerajaan negeri tidak mempunyai bidang kuasa menentukan kesahan proklamasi atau kedudukan Yang di-Pertuan Besar.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan mempertikaikan pembatalan pelantikan Exco oleh Tuanku Muhriz dengan menyatakan beliau tidak pernah menasihati baginda untuk mengambil tindakan berkenaan.

Related Posts

Kes khianat di Sri Aman, lelaki 36 tahun ditahan

SARATOK – Seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun dicekup polis di Saratok pada Isnin kerana disyaki terbabit dalam kes khianat dengan api yang dilaporkan di Sri Aman. Suspek ditahan sepasukan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Ketika Najib, Abdul Hadi berkuasa Rohingya dibawa masuk

ISU kemasukan pelarian Myanmar termasuk etnik Rohingya ke Malaysia bermula akibat tindakan kerajaan terdahulu termasuk ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dan penglibatan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Sandakan perlu dibangun sebagai destinasi, bukan sekadar persinggahan

  • By Fandi
  • September 22, 2026
Sandakan perlu dibangun sebagai destinasi, bukan sekadar persinggahan

Rampasan Waja, Hilux hampir RM100,000 dalam kes seleweng petrol

Rampasan Waja, Hilux hampir RM100,000 dalam kes seleweng petrol

Penderhakaan moden UMNO-PN, usaha gulingkan Tuanku Muhriz wajar dikenakan tindakan – Pakar

Penderhakaan moden UMNO-PN, usaha gulingkan Tuanku Muhriz wajar dikenakan tindakan – Pakar

Krisis Negeri Sembilan: Pelanggaran sumpah taat setia kukuhkan asas batal pelantikan Exco – Pakar

Krisis Negeri Sembilan: Pelanggaran sumpah taat setia kukuhkan asas batal pelantikan Exco – Pakar

Fiesta Pasar Malam KL dekatkan bantuan, pembiayaan kerajaan kepada peniaga

Fiesta Pasar Malam KL dekatkan bantuan, pembiayaan kerajaan kepada peniaga

‎Sabah sasar perluas kawasan perlindungan marin lebih dua juta hektar ‎

‎Sabah sasar perluas kawasan perlindungan marin lebih dua juta hektar ‎