Krisis Negeri Sembilan: Pelanggaran sumpah taat setia kukuhkan asas batal pelantikan Exco – Pakar

PELANGGARAN sumpah dan ikrar taat setia yang dilafazkan ketika pelantikan menjadi asas kepada tindakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menarik balik perkenan terhadap barisan Exco negeri, kata pakar undang-undang, Prof Emeritus Datuk Noor Aziah Mohd Awal.

Beliau berkata, kedudukan seseorang Exco bergantung kepada perkenan Yang di-Pertuan Besar dan pembatalan balik perkenan itu menyebabkan mereka tidak lagi memegang jawatan berkenaan.

Katanya, perkara itu jelas diperuntukkan dalam Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 yang menyatakan seseorang Exco memegang jawatan selagi diperkenan Yang di-Pertuan Besar.

“Kalau Tuanku tidak memperkenan pada peringkat awal, mereka semua tidak boleh menjadi Exco. Jadi apabila Tuanku menarik balik perkenan, mereka tidak lagi menjadi Exco negeri.

“Saya rasa itu lebih masuk akal mengikut perundangan dan apa yang disebut dalam peruntukan berkenaan,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kemelut pentadbiran Negeri Sembilan berikutan Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan semua Exco berkuat kuasa serta-merta selepas mendapati mereka memungkiri sumpah jawatan melalui tindakan dan kenyataan pada 15 September lalu.

Menurut kenyataan Istana Negeri Sembilan, kesemua Exco berkenaan sebelum ini mengangkat sumpah dan menandatangani ikrar taat setia kepada Yang di-Pertuan Besar serta Institusi Diraja pada 7 Ogos lalu.

Noor Aziah berkata, tindakan membatalkan pelantikan itu tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai arahan memecat Exco, sebaliknya sebagai penarikan balik perkenan yang menjadi asas kepada pelantikan mereka.

“Bila Tuanku menamatkan ataupun menarik balik perkenan, mereka tidak lagi menjadi Exco negeri kerana Tuanku sudah menarik balik perkenan.

“Kalau mereka enggan menerima fakta itu, itulah konflik yang sedang berlaku sekarang,” katanya.

Beliau berkata, Exco juga perlu menghormati keputusan berkenaan dan tidak terus menjalankan tugas seolah-olah pelantikan mereka masih berkuat kuasa.

Pandangan itu bagaimanapun berbeza dengan pendirian Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, yang menegaskan semua Exco terbabit masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa. Beliau turut menyatakan tiada keperluan untuk mengemukakan senarai Exco baharu kepada Tuanku Muhriz.

Mengulas perkara itu, Noor Aziah berkata, pendirian sedemikian menimbulkan persoalan kerana kerajaan negeri perlu menerima hakikat bahawa pelantikan asal Exco sendiri dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar.

“Pada peringkat awal, nama-nama mereka dikemukakan untuk mendapat perkenan Tuanku sebelum dilantik sebagai Exco.

“Jadi saya tidak faham kenapa selepas mereka mengangkat sumpah di hadapan Tuanku, mereka kemudiannya mengambil pendirian yang bertentangan dengan ikrar serta kedudukan yang mereka terima ketika pelantikan,” katanya.

Beliau berkata, sumpah jawatan dan ikrar taat setia bukan perkara yang boleh dipandang ringan kerana ia membabitkan tanggungjawab seseorang anggota pentadbiran terhadap institusi serta Perlembagaan negeri.

Noor Aziah turut mempersoalkan tindakan kerajaan negeri menerima proklamasi bertarikh 19 April yang mencabar kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar.

Katanya, sekiranya kesahihan proklamasi itu dipertikaikan, tidak wajar ia kemudiannya dijadikan asas oleh Exco dan Menteri Besar untuk mengiktiraf penurunan takhta berkenaan.

“Bagaimana satu proklamasi yang dipertikaikan dari segi kesahihannya boleh diterima oleh Exco dan Menteri Besar untuk menjadikannya sah dan menurunkan Tuanku?

“Kita bercakap mengenai Raja sebuah negeri, bukan jawatan biasa dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Beliau berkata, kemelut itu sepatutnya diselesaikan dengan menghormati kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar yang masih memegang jawatan berkenaan.

Katanya, Exco terbabit juga wajar mengakui pembatalan pelantikan mereka dan tidak meneruskan tindakan yang boleh memanjangkan konflik antara kerajaan negeri dengan Institusi Diraja.

“Sepatutnya mereka menghadap dan menarik balik apa yang telah dibuat supaya pentadbiran kerajaan negeri dapat diteruskan.

“Ini soal penghormatan terhadap Perlembagaan dan Institusi Diraja serta memastikan pentadbiran negeri dapat berjalan seperti biasa,” katanya.

Istana Negeri Sembilan sebelum ini turut meminta Menteri Besar mengemukakan senarai calon Exco baharu untuk pertimbangan dan perkenan Tuanku Muhriz mengikut Perkara XXXVIII(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Related Posts

“Kenangan di Sungai Buloh” – Anwar kongsi momen bertemu keluarga di sebalik kaca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengimbau kembali kenangan ketika berada di Penjara Sungai Buloh dengan berkongsi gambar lama ketika bertemu keluarganya di sebalik penghadang kaca. Menerusi hantaran di media…

Lebih lanjut

teruskan membaca
PM Anwar selesai menghadap Tuanku Muhriz

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di Istana Negeri Sembilan, Changkat Persekutuan, di sini, malam ini. Anwar…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Krisis Negeri Sembilan: Pelanggaran sumpah taat setia kukuhkan asas batal pelantikan Exco – Pakar

Krisis Negeri Sembilan: Pelanggaran sumpah taat setia kukuhkan asas batal pelantikan Exco – Pakar

Fiesta Pasar Malam KL dekatkan bantuan, pembiayaan kerajaan kepada peniaga

Fiesta Pasar Malam KL dekatkan bantuan, pembiayaan kerajaan kepada peniaga

‎Sabah sasar perluas kawasan perlindungan marin lebih dua juta hektar ‎

‎Sabah sasar perluas kawasan perlindungan marin lebih dua juta hektar ‎

Infantino sedia bincang reformasi FIFA

Infantino sedia bincang reformasi FIFA

Penyu belimbing kembali ke Terengganu, hasilkan 70 telur di Kuala Abang

Penyu belimbing kembali ke Terengganu, hasilkan 70 telur di Kuala Abang

Lelaki Orang Asli maut diserang harimau ketika mencari rotan

Lelaki Orang Asli maut diserang harimau ketika mencari rotan