
KOTA KINABALU – Pengalaman keluarganya mengusahakan perniagaan berkaitan bekalan makanan ketika pandemik COVID-19 mencetuskan minat untuk mendalami bidang agro-teknologi dan melihat pertanian sebagai antara sektor penting untuk masa depan.
Penerima Anugerah Ketua Pengarah (Politeknik), Naufal Zahari, 23, berkata, minat terhadap bidang itu bermula ketika pandemik apabila keluarganya menyaksikan sendiri kepentingan bekalan makanan kepada masyarakat.
“Keluarga saya mengusahakan perniagaan Kedai Budak Farm, yang membekalkan keperluan makanan ketika pergerakan masyarakat terhad akibat pandemik.
“Sejak COVID-19 mula berkembang, kita nampak bagaimana bekalan barang pertanian diperlukan di seluruh Sabah. Dari situ minat saya terhadap agro-teknologi bermula sehingga hari ini,” kongsinya kepada media selepas Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Sabah 2026, di Dewan Rafflesia Politeknik Kota Kinabalu, pada Isnin.

Menurut pelajar Politeknik Sandakan itu, agro-teknologi bukan sekadar berkaitan pertanian secara konvensional, sebaliknya merangkumi penggunaan sains dan teknologi bagi meningkatkan penghasilan serta pengeluaran makanan pada masa hadapan.
“Saya lihat bidang ini berkait dengan keselamatan makanan. Apa yang saya boleh bawa adalah dari segi penghasilan dan peningkatan pengeluaran makanan untuk masa hadapan.
“Sekarang saya sedang melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains Agro-Teknologi di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan bercadang menceburi perniagaan pertanian serta menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan seterusnya ke peringkat Doktor Falsafah (PhD),” kongsinya.
Tambah Naufal, kemajuan teknologi juga membuka peluang kepada generasi muda untuk menceburi pertanian tanpa memerlukan kawasan tanah yang luas.
“Sekarang sudah banyak sistem yang dibangunkan untuk memudahkan orang bercucuk tanam seperti sistem fertigasi dan hidroponik. Jadi, tidak semestinya memerlukan tanah yang besar untuk memulakan pertanian,” ujarnya.

Sementara itu, ayahnya, Zahari Mohamad, 49, berkata, minat anaknya terhadap bidang pertanian berkembang secara semula jadi selepas keluarga mereka melihat sendiri kepentingan sektor berkenaan ketika pandemik.
“Kami mengambil peluang ketika tempoh COVID-19 untuk mengusahakan Kedai Budak Farm kerana keperluan makanan tetap diperlukan masyarakat walaupun aktiviti lain terjejas.
“Kita nampak, apa pun keadaan, orang tetap perlu makan. Kalau perniagaan lain, contohnya tadika yang diusahakan isteri saya, apabila pandemik berlaku ia terpaksa ditutup.
“Tetapi keperluan makanan tetap ada. Dari situ saya nampak ini satu peluang untuk anak saya. Saya tidak paksa, tetapi kalau dia berminat, kita boleh usahakan dan kita akan menyokong sepenuhnya,” katanya.
Naufal, yang dilahirkan di Kedah dan menetap di Sabah selama 17 tahun, turut menyimpan hasrat untuk menceburi bidang pertanian dengan membangunkan projek berasaskan sistem fertigasi atau hidroponik pada masa hadapan.


