
KANOWIT – Pesta Kanowit 2026 membuka peluang ekonomi kepada penduduk dan peniaga tempatan menerusi kehadiran pengunjung serta peserta dari dalam dan luar daerah, selain menjadi platform memperkukuh perpaduan masyarakat pelbagai kaum.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong berkata, penganjuran pelbagai acara sepanjang pesta berupaya merancakkan aktiviti ekonomi setempat apabila kehadiran pengunjung memberi peluang kepada peniaga meningkatkan pendapatan.
“Penganjuran acara seperti lumba perahu bukan sahaja menarik penyertaan tempatan, malah peserta dari Song, Sibu, Miri, Kuching hingga ke Brunei.
“Kehadiran mereka membawa limpahan ekonomi kepada penduduk dan peniaga tempatan, termasuk golongan belia yang mengambil peluang menjana pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan Pesta Kanowit 2026 di sini, pada Sabtu.
Menurut Allan, keunikan budaya dan warisan adat masyarakat Kanowit turut berpotensi diketengahkan sebagai tarikan pelancongan kepada pengunjung dari luar.
Dalam pada itu, beliau berkata kepelbagaian masyarakat di daerah berkenaan yang terdiri daripada Iban, Cina, Melayu serta komuniti di sepanjang Sungai Rajang menjadi kekuatan dalam mengekalkan keharmonian dan perpaduan setempat.
Jelasnya, hubungan erat antara masyarakat pelbagai kaum perlu terus dipelihara bagi memastikan semangat toleransi dan kehidupan bersama kekal menjadi identiti komuniti Kanowit.
Beliau turut mengingatkan masyarakat tempatan dan peniaga supaya memanfaatkan kemajuan teknologi digital secara bijak bagi menyesuaikan diri dengan arus modenisasi serta memperluas potensi ekonomi masing-masing.
Pesta Kanowit 2026 berlangsung dari 12 hingga 27 September di sekitar Tebingan Kanowit dan Pekan Kanowit dengan pelbagai pengisian termasuk sukan rakyat, Unity Senamrobik, bazar jualan, pameran agensi, Power Boat Challenge 2026 dan pertandingan Ratu Kebaya.






