
TAWAU – Perkembangan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menunjukkan perubahan yang begitu ketara termasuk pemerkasaan terhadap kedudukan Sabah dan Sarawak dalam pembentukan Malaysia.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal berkata, Sabah, Sarawak dan Semenanjung kini dilihat sebagai tiga wilayah dalam membentuk Malaysia, selain perkara itu sudah dapat diterima oleh seluruh masyarakat di negara ini.
“Bagi saya, pengiktirafan ini, apabila sudah dimainstreamkan oleh kerajaan sendiri, sudah mampu menyatupadukan kita.
“Setelah kita lihat perkembangan tuntutan kita dalam memastikan hak-hak orang Sabah dan hak orang Borneo ini terus mendapat pembelaan melalui MA63, kita lihat sudah banyak perubahan yang kita sangat harapkan,” ujarnya kepada media selepas merasmikan Program Bicara Madani: Kemiskinan Haid Peringkat Daerah Tawau 2026, di SMK Tawau II, pada Sabtu.
Mengulas lanjut Rina berkata, bayaran geran khas RM1.5 bilion itu bukan jumlah muktamad yang seharusnya diterima neheri ini.
“Kita tidak pernah ada satu kata putus untuk mengatakan bahawa itulah tanda akhir, itulah jumlah akhir yang kita terima.
“Ini hanyalah interim, sementara kita membuat pengiraan dan memastikan berapa sebenarnya yang kita boleh dapat daripada segi itu,” ujarnya.
Untuk rekod, setakat ini 13 daripada 29 tuntutan telah diselesaikan menerusi Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63.
Sembilan daripada 13 perkara telah diselesaikan dibawah pentadbiran Kerajaan MADANI yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa tiga tahun bersama kerajaan negeri dan Sarawak.
Antara tuntutan selesai ialah pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah serta Sarawak sebagai jabatan teknikal, pelantikan wakil tetap bagi Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta penyerahan kuasa kawal selia elektrik dan gas kepada Sabah.






