
SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih perlu menjalani hukuman di Penjara Kajang buat sementara waktu selepas pelaksanaan tahanan rumah yang diperkenankan kepadanya tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Perkara itu dimaklumkan peguam bela dan peguamcara Najib, Tetuan Shafee & Co. menerusi kenyataan bagi pihak beliau pada Ahad.
Menurut firma guaman itu, Najib bersama pasukan peguamnya kini sedang meneliti syarat yang ditetapkan serta implikasi praktikal berkaitan pelaksanaan pengampunan bersyarat berkenaan.
“Sepertimana yang dinyatakan dengan jelas dalam pengumuman tersebut, pelaksanaan tahanan rumah bagi anak guam kami bergantung kepada pematuhan syarat-syarat yang telah ditetapkan.
“Sementara itu, dan sehingga denda tersebut dibayar kepada mahkamah, anak guam kami kekal berada di dalam Penjara Kajang,” katanya.
Pada Jumaat lalu, Najib mendapat pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dengan baki hukuman penjara boleh dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64.
Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada syarat pembayaran denda RM50 juta.

Mengulas mengenai syarat berkenaan, Tetuan Shafee & Co. berkata sebahagian besar aset, akaun bank dan hartanah Najib masih tertakluk kepada perintah pembekuan serta tindakan penguatkuasaan kerajaan.
Keadaan itu, menurut firma berkenaan, menyebabkan pelupusan aset terbabit tidak sepenuhnya berada dalam kawalan Najib pada masa ini.
“Keupayaan beliau untuk memenuhi syarat tersebut oleh itu bergantung, sebahagiannya, kepada perkara-perkara yang berada di luar kawalan beliau,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Najib sedang mendapatkan nasihat dan mempertimbangkan pilihan yang ada bagi menentukan kaedah terbaik untuk memenuhi syarat berkenaan.
Beliau turut menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas perkenan melaksanakan kuasa prerogatif pengampunan diraja terhadapnya.
Najib juga merakamkan penghargaan kepada Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan atas pertimbangan terhadap permohonannya.
Menurut peguamnya, Najib turut menghargai sokongan Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ahli Majlis Tertinggi UMNO serta kepimpinan dan ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) di semua peringkat.
“Anak guam kami turut berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah tampil untuk menawarkan bantuan bagi memenuhi syarat yang ditetapkan.
“Beliau merasa amat bersyukur dan terharu bahawa begitu ramai yang ingin memberi sokongan dan berdiri bersama beliau,” katanya.

Bagaimanapun, Najib tidak mahu mana-mana pihak termasuk parti, ahli dan penyokongnya serta orang ramai berasa terbeban atau terikat dengan sebarang kewajipan atas namanya.
“Beliau tetap amat berterima kasih kepada mereka yang, atas kerelaan sendiri dan mengikut kemampuan masing-masing, telah memilih untuk menghulurkan sokongan dan bantuan.
“Keikhlasan mereka merupakan sumber kekuatan yang amat besar kepada beliau sejak dari dahulu sehingga hari ini,” menurut kenyataan itu.
Dalam perkembangan sama, Najib turut mengucapkan terima kasih kepada ahli keluarga, sahabat handai dan semua pihak yang sentiasa mendoakan beliau.
Bagaimanapun, beliau memohon agar privasi keluarganya dihormati dan pihak peguam memaklumkan tidak akan memberikan ulasan lanjut buat masa ini.







