
PUTATAN – Golongan muda di Sabah digalakkan berani mencuba perkara baharu dan meneroka potensi diri kerana langkah kecil hari ini mampu berkembang menjadi kemahiran, kerjaya atau kejayaan pada masa hadapan.
Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Mansur Haji Asun berkata, Fiesta Rakan Muda Peringkat Negeri Sabah 2026 menyediakan ruang kepada golongan muda mengenal pasti minat, menyerlahkan bakat serta membina keyakinan dan karakter diri.

“Golongan muda digalakkan memanfaatkan peluang yang disediakan dan tidak takut mencuba sesuatu yang baharu kerana percubaan kecil berpotensi menjadi titik permulaan kepada minat, kemahiran, kerjaya atau kejayaan pada masa hadapan.
“Fiesta ini juga membawa konsep penyertaan untuk semua. Tidak kira latar belakang, minat mahupun kebolehan, setiap anak muda mempunyai ruang untuk mencuba, berkarya, berinteraksi dan membina keyakinan diri,” katanya.Beliau berkata demikian ketika merasmikan Fiesta Rakan Muda Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026, di sini, pada Sabtu.

Menurut Mansur, Rakan Muda bukan sekadar program berbentuk aktiviti, sebaliknya menjadi platform pembangunan belia yang membolehkan anak muda meneroka minat dan mengembangkan potensi masing-masing.
“Program ini mendekatkan belia kepada 10 Gaya Hidup Rakan Muda iaitu Rakan Aktif, Rakan Bumi, Rakan Demokrasi, Rakan Digital, Rakan Ekspresi, Rakan Litar, Rakan Mahir, Rakan Muzik, Rakan Niaga dan Rakan Prihatin.

“Pelbagai pengisian turut disediakan termasuk pertandingan seni doodle, aktiviti sukan dan kecergasan, seni kreatif, digital, muzik, kemahiran, keusahawanan, kesukarelawanan serta aktiviti kelestarian alam sekitar,” kongsinya.
Dalam pada itu, Mansur berharap fiesta berkenaan terus menjadi medan yang menyatukan golongan belia, komuniti, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta.Katanya, penglibatan pelbagai pihak penting bagi membentuk ekosistem pembangunan belia di Sabah yang lebih progresif, inklusif dan berdaya saing.




