
KUCHING- Taktik seorang lelaki menggunakan jalan darat untuk menyeludup dadah dari Miri ke Sabah terbongkar selepas dia ditahan di Jalan Mendamit dengan rampasan dadah bernilai RM4.3 juta pada 14 September lalu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Haji Abdullah berkata, suspek berusia 23 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang.
Beliau juga merangkap Pengarah Pengurusan PDRM berkata, polis merampas dadah seberat 84.07 kilogram (kg) di dalam serbuan tersebut, terdiri daripada 81.21 kg syabu, 2.06 kg ketamin, dan 0.80 kg serbuk MDMA.
“Modus operandi sindiket yang dikesan aktif sejak November 2025 ini adalah menggunakan kenderaan pacuan empat roda bagi membawa bekalan dadah dari Miri ke Sabah melalui laluan darat,” jelasnya.

Pihak polis turut menyita kenderaan pacuan empat roda bernilai RM35,000 tersebut di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
Mohamad Zainal menambah, ujian saringan awal mendapati suspek negatif dadah dan dia tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.
Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 22 September 2026 bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.






