
KUNAK – Seorang lelaki motosikal maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori rigid di Kilometer 6 Jalan Kunak-Lahad Datu, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kunak, Superintenden Rejali Ak Angong berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa berumur 50 tahun berkenaan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Semasa kejadian, lori berkenaan dipandu lelaki berumur 20-an dari arah Lahad Datu menuju ke Kunak.
“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa secara tiba-tiba keluar dari simpang di sebelah kanan arah perjalanan lori,” ujarnya dalam kenyataan media, pada Khamis.

Menurut Rejali, disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu lori tidak sempat mengelak sebelum berlaku perlanggaran.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati, bertinbang rasa ketika memandu dan memastikan keadaan serta jarak selamat sebelum keluar dari simpang.



