KUALA LUMPUR – Keputusan untuk menghebahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji bukan keputusan Perdana Menteri secara bersendirian, sebaliknya diputuskan Jemaah Menteri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dirinya membawa perkara itu ke Kabinet dan mendapatkan persetujuan semua anggota Jemaah Menteri sebelum laporan berkenaan dibawa ke Parlimen.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, beliau bukan pihak yang menentukan sama ada seseorang bersalah atau perlu ditangkap.
.
“Saya cadangkan, tapi dalam Jemaah Menteri. Saya tanya, macam mana? Semua setuju. Boleh bawa ke Parlimen?Alright. Bila bawa ke Parlimen, pas.
“Kalau salah, tangkaplah. Saya kata bukan kerja saya nak tentukan siapa salah, nak tangkap bukan kerja saya,” katanya dalam podcast Sembang Ohh Yeahh sempena Hari Malaysia di Facebook rasminya, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, laporan atau maklumat yang ada perlu disiasat oleh pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Jika terdapat kesalahan, beliau menegaskan, keputusan pendakwaan dibuat mengikut proses undang-undang sebelum mahkamah menentukan sama ada seseorang itu bersalah.
“Saya bagi dasar. Siapa ada laporan, siasat. Siapa siasat? Polis, SPRM dan sebagainya. Laporan RCI itu bukan perkara yang boleh digunakan untuk menghukum seseorang berdasarkan persepsi.
“Orang yang tak salah tak akan disabitkan,” katanya.
Anwar berkata, beliau tidak mahu tindakan terhadap sesiapa dilakukan secara zalim kerana pernah melalui pengalaman sendiri ketika berada dalam penjara.
“Saya tidak mahu terlibat dalam apa-apa langkah yang menzalimi orang lain. Ini kerana saya reti harga menzalimi itu, dizalimi puluhan tahun terenggut di penjara. Saya tidak mahu itu berlaku pada sesiapa,” katanya.
Beliau berkata prinsip tersebut terpakai bukan sahaja kepada individu berprofil tinggi, malah kepada rakyat biasa.
“Bukan sahaja orang besar. Rakyat di bawah yang paling miskin pun,” katanya.
Anwar turut menyebut angka kerugian RM12.5 bilion yang dibangkitkan dalam laporan RCI berkaitan TH ketika menjelaskan isu berkenaan bukan sekadar politik tetapi melibatkan pengurusan wang dan kepentingan rakyat.
“Ini bukan soal politik. Ini soal bangsa dan negara,” katanya.

