KUALA LUMPUR – Keresahan rakyat berhubung kenaikan bil elektrik akan diambil langkah mitigasi segera bagi mengurangkan kesannya kepada isi rumah yang terjejas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau ambil maklum keluhan rakyat selepas pulang dari lawatan ke India dan Maldives, dengan isu kenaikan bil elektrik menjadi antara perkara yang diberi perhatian.
“Saya mendengar keluhan yang disuarakan dan perkara ini perlu diberi perhatian serta ditangani segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kerajaan akan terus mempertahankan pendekatan penyasaran subsidi bagi memastikan majoriti rakyat terus dilindungi.
Katanya, sekitar 80 peratus pengguna domestik yang menggunakan elektrik tidak melebihi 600 kilowatt-jam (kWj) sebulan kekal dilindungi dan tidak terkesan dengan kenaikan kadar susulan peningkatan kos bahan api tahun ini.
Bagaimanapun, Anwar berkata keadaan jerebu dan cuaca lebih panas sejak kebelakangan ini menyebabkan penggunaan elektrik sesetengah isi rumah meningkat sehingga melepasi paras 600 kWj sebulan.
Keadaan itu menyebabkan pengguna berkenaan tertakluk kepada mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA).

Sehubungan itu, Anwar berkata kerajaan akan mengadakan mesyuarat khas esok bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Suruhanjaya Tenaga (ST), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kementerian Kewangan (MoF).
“Mesyuarat khas esok bagi meneliti langkah mitigasi segera untuk mengurangkan kesan kenaikan bil elektrik terhadap isi rumah yang terlibat,” katanya.
Sementara itu, Anwar menegaskan kerajaan akan memastikan setiap langkah penyasaran subsidi dilaksanakan secara adil dan munasabah dengan kepentingan serta kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan.
Semalam, TNB menjelaskan mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) bukan caj tambahan baharu atau sumber keuntungan syarikat, sebaliknya mekanisme dua hala bagi melaraskan perubahan kos bahan api dan kadar tukaran asing.
Menurut TNB, apabila kos bahan api global menurun, pengguna akan menerima rebat AFA yang dipulangkan terus melalui bil elektrik.



