
KUCHING – Kerajaan Persekutuan kini bertindak beralih kepada pendekatan tindakan awalan bagi menangani situasi jerebu yang melanda negara dengan lebih berkesan, disokong oleh peruntukan keseluruhan berjumlah RM5 juta bagi Operasi Pembenihan Awan (OPA) pada tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peralihan strategi itu membolehkan langkah pencegahan dan kesiapsiagaan digerakkan lebih awal berdasarkan ramalan cuaca, penganalisaan data, serta penilaian risiko berikutan ancaman cuaca panas dan kering berpanjangan akibat fenomena El Nino.
“Tindakan awal ini merangkumi pemantauan kawasan titik panas (hotspot), kesiapsiagaan aset pemadaman kebakaran, pengurusan tanah gambut yang lebih rapi, penguatkuasaan ketat terhadap pembakaran terbuka, serta penyelarasan awal antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Negeri,” katanya mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Pengurusan Bencana Negara Bilangan 1 Tahun 2026 pada Rabu.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pengurusan Bencana Negara (MPBN) menjelaskan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) akan menyelaraskan OPA apabila keadaan atmosfera mengizinkan. Mengikut rekod kelulusan MPBN, sejumlah RM2 juta telah disalurkan bagi OPA Fasa Pertama pada 2 Jun lalu, disusuli peruntukan tambahan RM3 juta untuk Fasa Kedua pada 2 September 2026.
Selain ancaman jerebu, beliau turut mengambil maklum tekanan terhadap bekalan air bagi kegunaan domestik, pertanian, dan perindustrian.
Sehubungan itu, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah diarahkan untuk meneliti segera potensi penggunaan telaga tiub sebagai sumber air alternatif, termasuk membaik pulih infrastruktur sedia ada sebelum kawasan berisiko berdepan krisis kritikal.
Menyentuh mengenai isu jerebu rentas sempadan, Ahmad Zahid mengesahkan bahawa perkara itu akan dibangkitkan secara rasmi dalam lawatan kerjanya ke Indonesia yang dijadualkan bermula pada 17 hingga 20 September ini.
Beliau telah mengarahkan NADMA untuk bersiap sedia mengatur gerak keperluan OPA serta sokongan logistik sekiranya terdapat permohonan rasmi daripada kerajaan Indonesia bagi membantu memadamkan kebakaran hutan dan tanah gambut, khususnya di wilayah Kalimantan.
Bantuan tersebut, bagaimanapun, katanya, tertakluk kepada persetujuan pihak berkuasa negara jiran itu serta kesesuaian cuaca.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menegaskan bahawa episod jerebu yang menyelubungi Sarawak ketika ini perlu dijadikan asas untuk memperkukuh kesiapsiagaan negara secara menyeluruh.
“Hasil mesyuarat HLC ini bukan sahaja tertumpu untuk menangani keadaan semasa, tetapi turut diterjemahkan kepada penambahbaikan jangka sederhana dan panjang terhadap Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK), mekanisme pengurusan bencana, serta diplomasi jerebu rentas sempadan bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan rakyat,” tegasnya.
Foto: Jabatan Penerangan Sarawak








