
KUCHING – Kementerian Komunikasi memberi amaran tegas bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempunyai unit khusus yang ditugaskan untuk memantau hantaran di media sosial secara berterusan, terutamanya yang melibatkan isu sensitif 3R (Agama, Kaum, dan Institusi Diraja).
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, kementerian memandang serius sebarang bentuk provokasi yang boleh menggugat keharmonian negara.
Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa MCMC menjalin kerjasama erat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan proses penguatkuasaan dapat dijalankan dengan pantas dan efektif.
“Di bawah MCMC, memang kami mempunyai satu unit khas yang akan sentiasa memantau kandungan di media sosial.
“Kami juga sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak PDRM untuk memastikan bahawa kandungan-kandungan yang menyentuh sentimen 3R itu boleh diambil tindakan secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai langkah pemantauan naratif provokasi 3R selepas mengadakan lawatan tinjauan ke Pusat Operasi Rangkaian (NOC) sempena Sambutan Hari Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu.
Sebelum ini, beberapa siri kontroversi melibatkan ucapan dan hantaran berbaur sensitiviti agama dan kaum oleh segelintir pihak, di mana pemimpin pelbagai parti politik turut menggesa agar tindakan tegas diambil bagi membendung perbuatan yang memecah-belahkan perpaduan tersebut.






