
KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia yang berada di Yaman, khususnya di sekitar Mocha dan Taiz, dinasihatkan supaya kekal di lokasi selamat susulan perkembangan terkini di negara berkenaan.
Kedutaan Besar Malaysia di Muscat menerusi notis konsular menasihatkan rakyat Malaysia di kawasan terjejas supaya meminimumkan pergerakan yang tidak perlu serta menjauhi kawasan ketenteraan, lapangan terbang, pelabuhan, kemudahan kerajaan dan pusat pemeriksaan.
“Rakyat Malaysia harus mematuhi semua arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan dan sentiasa berwaspada terhadap perubahan dalam persekitaran keselamatan,” menurut notis itu.
Sebagai langkah berjaga-jaga, mereka turut dinasihatkan memastikan pasport, dokumen penting, telefon bimbit serta ubat-ubatan yang diperlukan sentiasa mudah dicapai.
Kedutaan juga menasihatkan rakyat Malaysia supaya mengelakkan perjalanan jarak jauh yang tidak penting buat masa ini, terutama di kawasan yang keadaan jalan raya dan tahap keselamatannya mungkin terjejas.
Dalam pada itu, rakyat Malaysia di Yaman digalakkan mendaftar serta mengemas kini maklumat peribadi menerusi portal e-Konsular bagi memudahkan urusan komunikasi dan bantuan konsular.
Mereka turut diminta terus berhubung dengan kedutaan dan memastikan lokasi semasa serta maklumat hubungan sentiasa dikemas kini.
“Mereka yang masih belum menghubungi kedutaan digalakkan berbuat demikian secepat mungkin,” menurut notis itu.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular atau ingin mendaftarkan kehadiran boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Muscat menerusi talian +968 7159 2388 atau e-mel mwmuscat@kln.gov.my.
Kedutaan memaklumkan pihaknya akan terus memantau perkembangan di Yaman, mengekalkan hubungan dengan rakyat Malaysia di negara itu serta berkoordinasi dengan pihak berkuasa dan rakan kongsi berkaitan bagi menyediakan bantuan konsular sekiranya diperlukan.






