Proklamasi pelucutan Tuanku Muhriz bercanggah adat, undang-undang – Pakar

PROKLAMASI berkaitan pelucutan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, bercanggah dengan adat dan undang-undang negeri, kata Pakar Undang-Undang, Prof Emeritus Datuk Noor Aziah Mohd Awal.

Beliau berkata, sebarang keputusan membabitkan kedudukan pemerintah perlu dibuat mengikut saluran ditetapkan, termasuk mengambil kira peranan Undang Yang Empat yang menjadi asas kepada sistem pemerintahan dan adat Negeri Sembilan.

“Pada ketika itu, tiga daripada Undang Yang Empat sudah berundur dan mereka bukan lagi Undang. Jadi, mereka tidak boleh membuat proklamasi itu.

“Bagi saya, proklamasi itu tidak betul kerana kalau mengikut undang-undang Negeri Sembilan, perkara seperti ini perlu dibawa kepada Undang atau dimaklumkan kepada pihak yang berkaitan,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) hari ini.

Semalam, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan memutuskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah, selain mendapati dokumen bertarikh 5 September lalu yang bertujuan melucutkan kedudukan baginda bercanggah dengan adat dan undang-undang.

Keputusan itu turut membabitkan tafsiran terhadap Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS), yang berkaitan proses penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar, manakala Perkara 16(3) menyentuh kedudukan Undang Yang Empat dalam urusan berkaitan pemerintahan negeri.

DKU turut memutuskan tiga daripada empat individu yang menandatangani dokumen berkenaan tidak memegang jawatan Undang mengikut luak masing-masing ketika itu serta menegaskan dokumen terbabit tidak boleh dijadikan asas untuk sebarang tindakan pentadbiran negeri.

Noor Aziah berkata, tindakan meminta seorang raja berundur daripada takhta bukan perkara yang boleh dilakukan dengan mudah kerana ia membabitkan kedudukan institusi pemerintahan serta adat yang diamalkan sejak sekian lama.

“Kalau baginda berundur, ia bermakna baginda turun secara sukarela, bukan dipaksa. Jadi, perkara itu perlu diputuskan dengan jelas mengikut undang-undang dan adat,” katanya.

Mengulas tandatangan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim pada dokumen berkenaan, Noor Aziah berpandangan tandatangan itu tidak menjadikan proklamasi terbabit sah sekiranya proses asasnya bercanggah dengan undang-undang dan adat.

Ismail sebelum ini berkata beliau menandatangani dokumen berkenaan dalam keadaan terpaksa dan bukan secara sukarela, selain mendakwa tandatangannya diperoleh secara paksaan.

“Bagi saya, tandatangan Menteri Besar baharu itu tidak berkesan kerana proklamasi itu sendiri adalah tidak betul dari segi undang-undang dan adat.

“Perkara seperti ini sepatutnya dibawa secara tertutup melalui saluran yang betul,” katanya.

Beliau berkata, adat Negeri Sembilan perlu terus dihormati walaupun masyarakat kini berada dalam era moden, termasuk cara perkara membabitkan institusi diraja dikendalikan.

“Walaupun kita moden, kita masih mempunyai adat dan kita perlu mengikut adat. Mengadakan sidang media, siaran langsung di TikTok dan sebagainya berkaitan perkara seperti ini bukan cara yang sopan.

“Kita tidak melakukan perkara sedemikian terhadap raja,” katanya.

Noor Aziah berkata, sistem pemerintahan Negeri Sembilan mempunyai keunikan tersendiri kerana sebahagian proses pelantikan dan pemerintahan berasaskan adat yang diamalkan sejak sekian lama, walaupun tidak semuanya termaktub secara bertulis.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak supaya menghormati institusi diraja serta tidak mengambil tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan Negeri Sembilan.

“Kita sebagai rakyat Malaysia dan rakyat Negeri Sembilan perlu taat kepada raja dan negara.

“Kalau bukan kita yang menghormati raja dan menunjukkan kasih sayang kepada baginda, siapa lagi?” katanya.

Related Posts

PM Anwar mahu Malaysia-India perkukuh sinergi E&E, semikonduktor

KERALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Malaysia dan India memanfaatkan kekuatan masing-masing dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor bagi memperluas kerjasama ekonomi bernilai tinggi antara…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Hab daging halal antara peluang baharu pelaburan UAE di Malaysia – PM

KOZHIKODE – Malaysia berpotensi menjadi hab pengedaran daging halal serantau selepas kumpulan perniagaan terkemuka Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sharaf Group, menyatakan minat memanfaatkan keupayaan logistik negara bagi menembusi pasaran antarabangsa.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pemuda UPKO, Warisan buat laporan polis isu kenyataan Noorazli

  • By Ezmie
  • September 15, 2026
Pemuda UPKO, Warisan buat laporan polis isu kenyataan Noorazli

Penglibatan anak muda beri dimensi baharu Sambutan Hari Malaysia di Sabah

  • By Ezmie
  • September 15, 2026
Penglibatan anak muda beri dimensi baharu Sambutan Hari Malaysia di Sabah

Malaysia nombor dua Asia Tenggara bagi prestasi penstriman internet

Malaysia nombor dua Asia Tenggara bagi prestasi penstriman internet

SPRM ingatkan masyarakat jangan mudah percaya maklumat tular

SPRM ingatkan masyarakat jangan mudah percaya maklumat tular

Leeds belasah Newcastle 4-1

Leeds belasah Newcastle 4-1

Jerebu semakin meruncing, Maxim edar pelitup muka percuma buat penumpang

Jerebu semakin meruncing, Maxim edar pelitup muka percuma buat penumpang