
TEMERLOH – Tindakan seorang penghantar barang menyembunyikan sepucuk pistol palsu di bawah kerusi bahagian pemandu terbongkar selepas ditahan dalam serbuan berkaitan dadah di Paya Keladan di sini, malam Sabtu lalu.
Dalam serbuan kira-kira jam 8.30 malam itu, lelaki berusia 29 tahun yang menetap di Bera turut didapati memiliki bahan disyaki dadah dianggarkan bernilai RM1,022.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh hasil maklumat dan risikan.
“Hasil pemeriksaan awal ke atas suspek, pihak polis menemui 15 mililiter cecair vape yang disyaki dadah berbahaya jenis MDMA serta 6.15 gram serbuk kristal disyaki dadah jenis methamphetamine.
“Susulan serbuan itu, pemeriksaan lanjut dilakukan ke atas kenderaan dinaiki suspek sebelum menjumpai sepucuk pistol palsu berwarna hitam disorok di bawah kerusi pemandu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati lelaki terbabit positif dadah.
Mohd Nasyim menjelaskan, semakan menerusi Sistem Pengurusan Rekod Jenayah mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan penyalahgunaan dadah.
“Suspek direman selama tiga hari bermula semalam hingga 15 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 berkaitan pemilikan senjata api,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihak polis akan terus mempergiat risikan dan tindakan bagi membanteras aktiviti pengedaran serta penagihan dadah di daerah berkenaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah diminta menyalurkannya kepada polis menerusi talian 09-2716222.




