
KOTA KINABALU – Sebanyak 1,551 kes kebakaran terbuka direkodkan di seluruh Sabah bagi tempoh 1 Mac hingga 13 September lalu, dengan kebakaran belukar dan alang menyumbang sebahagian besar daripada keseluruhan kes.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Mohd Pisar Aziz, berkata sebanyak 1,012 kes atau 65.2 peratus membabitkan kebakaran belukar dan alang, manakala 381 kes atau 24.6 peratus lagi membabitkan kebakaran hutan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka, terutama ketika keadaan cuaca kering kerana api boleh merebak dengan pantas dan sukar dikawal.
“Keselamatan nyawa, harta benda dan alam sekitar merupakan tanggungjawab bersama.
”Masyarakat perlu memainkan peranan dengan mengelakkan pembakaran terbuka, segera memadamkan sebarang punca api dan melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku kebakaran,” katanya dalam kenyataan,pada Isnin.

Mengulas mengenai statistik mengikut suku tahun, Mohd Pisar berkata, jumlah kes tertinggi direkodkan pada suku kedua antara April hingga Jun dengan 655 kes atau 42.2 peratus.
”Suku ketiga pula merekodkan 470 kes atau 30.3 peratus, manakala 426 kes atau 27.5 peratus dicatatkan pada suku pertama.
”Jumlah kes berkenaan menunjukkan keperluan untuk masyarakat terus meningkatkan kesedaran dan mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian kebakaran terbuka, terutama ketika keadaan cuaca panas dan kering,” ujarnya.

Pada masa sama, Mohd Pisa berkata, JBPM Sabah akan terus memperkukuh pemantauan kawasan titik panas (hotspot) serta meningkatkan kesiapsiagaan operasi bagi memastikan tindakan segera dapat diambil sekiranya berlaku kebakaran.
Tambahnya, usaha pendidikan dan kesedaran awam juga akan dipertingkatkan sebagai langkah mengurangkan risiko kebakaran terbuka di seluruh Sabah.






