
KUCHING – Pengamal media dan warganet diberi peringatan tegas agar lebih berwaspada apabila menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menjana grafik yang melibatkan lambang kedaulatan negara, terutamanya bendera Jalur Gemilang.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menegaskan bahawa aplikasi AI terdedah kepada risiko ‘halusinasi visual’ yang boleh menghasilkan maklumat atau imej yang tidak tepat.
“Sekiranya anda menjanakan grafik terutamanya mengenai Jalur Gemilang, sila pastikan bucu untuk bintang itu cukup 14, dan jalurnya juga cukup 14. Jangan ada warna yang berbeza,” tegasnya.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menerima bulat-bulat hasil janaan AI sebaliknya sentiasa menyemak fakta sebelum memuat naik sebarang hantaran di media sosial, terutamanya sempena sambutan Hari Malaysia ini.
“Gunakan aplikasi AI dengan bijak, namun ia mesti sentiasa berlandaskan undang-undang sedia ada,” tambahnya lagi ketika mengulas mengenai kebimbangan penyebaran grafik bendera yang dimanipulasi secara digital.





