
GOPENG – Sambutan luar biasa masyarakat setempat memeriahkan Program MADANI Kita (PMK) bersama komuniti Simpang Pulai apabila hampir 3,000 pengunjung hadir di Dewan Orang Ramai Sungai Rapat, di sini, pada Ahad sekali gus mengatasi sasaran awal seramai 1,000 orang.
Program anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) itu mendapat sambutan menggalakkan apabila pelbagai perkhidmatan dan aktiviti disediakan secara percuma khusus untuk memberi manfaat secara langsung kepada komuniti setempat.
Antara pengisian yang menjadi tumpuan pengunjung termasuk perkhidmatan gunting rambut, penukaran minyak hitam kenderaan, pemberian makanan dan minuman percuma serta perkhidmatan kesihatan.
Turut disediakan kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memudahkan masyarakat mendapatkan perkhidmatan berkaitan urusan pendaftaran dan dokumen rasmi tanpa perlu berkunjung ke lokasi yang lebih jauh.
Disamping Jualan RAHMAH yang sememangnya menjadi tumpuan dan pilihan utama rakyat dalam mendapatkan barangan basah pada harga lebih murah.
Ketua Pengarah JKOM, Hisyammudin Ghazali berkata, sambutan hampir tiga kali ganda daripada sasaran awal itu membuktikan masyarakat menerima baik pendekatan program yang membawa perkhidmatan kerajaan secara terus kepada komuniti.
“PMK merupakan antara platform terbaik untuk kita turun padang dan mendekati masyarakat. Kita bukan sekadar menyampaikan maklumat, tetapi turut membawa pelbagai perkhidmatan yang boleh dimanfaatkan rakyat secara langsung.
“Apabila hampir 3,000 orang hadir sedangkan sasaran awal kita hanya 1,000 orang, ini menunjukkan masyarakat mahukan program yang dekat dengan mereka dan memberi manfaat secara nyata.
“Pendekatan seperti ini perlu diteruskan kerana ia membuka ruang kepada kerajaan untuk mendengar, memahami dan menyantuni keperluan rakyat di peringkat akar umbi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan PMK Bersama-sama Komuniti Simpang Pulai@Gopeng.

Hadir sama, Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, Sandrea Ng Shy Ching.
Menurut beliau, pengisian yang disediakan bukan sahaja memeriahkan program, malah memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan pelbagai perkhidmatan dalam suasana santai, mesra dan lebih dekat dengan agensi kerajaan.
Katanya, pendekatan turun padang juga penting bagi memastikan penyampaian maklumat kerajaan dapat dilakukan secara lebih berkesan, selain memberi ruang kepada masyarakat berinteraksi secara langsung dengan wakil agensi yang terlibat.
“Yang paling penting, kita mahu rakyat merasakan bahawa kerajaan sentiasa ada bersama mereka. Program seperti PMK menjadi jambatan yang menghubungkan kerajaan dengan masyarakat, di samping mengukuhkan kepercayaan dan hubungan dua hala yang lebih erat,” katanya.
Sambutan menggalakkan terhadap PMK di Gopeng itu sekali gus mencerminkan keberkesanan pendekatan turun padang dalam mendekatkan perkhidmatan kerajaan dengan rakyat, selain memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dan komuniti tempatan.




