
KOTA KINABALU – Seramai 48 jurutera tentera dari empat negara berganding bahu membina kemudahan baharu di Klinik Kesihatan Telipok yang menerima lebih 300 pesakit setiap hari.
Komander Misi Pacific Partnership 2026 (PP26), Kapten Robert Reyes berkata, projek pembinaan struktur teduhan kekal itu disiapkan dalam tempoh 10 hari menerusi kerjasama pasukan dari Malaysia, Amerika Syarikat, Korea Selatan dan United Kingdom.
“Struktur teduhan kekal berukuran 15 meter panjang dan enam meter lebar itu menyediakan ruang menunggu berbumbung bagi melindungi pesakit daripada panas dan hujan sebelum mendapatkan rawatan.
“Matlamat bersama kami adalah untuk meningkatkan keselamatan, kesejahteraan dan kualiti hidup penduduk Telipok.
“Seramai 48 jurutera daripada empat negara menggabungkan kepakaran, semangat kerjasama dan tenaga bagi menjayakan usaha ini,” ujarnya semasa berucap pada Majlis Perasmian Projek Kejuruteraan PP26 di Klinik Kesihatan Telipok, di sini, pada Ahad.

Menurut Reyes, projek berkenaan membabitkan 22 anggota U.S. Navy Seabees daripada Amphibious Construction Battalion One, 13 jurutera Rejimen Askar Jurutera Diraja Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tujuh anggota Republic of Korea Naval Mobile Construction Battalion One dan enam anggota Royal Navy dari HMS Tamar.
“Projek kejuruteraan ini menjadi antara pendekatan PP26 dalam membantu meningkatkan kehidupan masyarakat, di samping membina daya tahan komuniti supaya lebih bersedia menghadapi situasi bencana.
“Pacific Partnership menghimpunkan pasukan tentera, pertubuhan bukan kerajaan dan rakan awam dari seluruh rantau untuk membuat persediaan ketika keadaan aman supaya kita mampu bertindak ketika krisis,” kongsinya.

Sementara itu, Ketua Klinik Kesihatan Telipok, Dr Izyana Syazlin Ibrahim berkata, kemudahan berkenaan memberi nilai tambah kepada klinik berkenaan khususnya dalam menyediakan persekitaran lebih selesa kepada pesakit, masyarakat dan petugas kesihatan.
“Walaupun ia mungkin kelihatan seperti kemudahan yang ringkas, struktur ini akan menyediakan persekitaran lebih selesa dan praktikal untuk pesakit, masyarakat serta petugas kesihatan.
“Paling penting, sumbangan ini akan terus memberi manfaat kepada masyarakat setempat walaupun Pacific Partnership sudah berakhir.
“Melalui PP26 juga secara tidak langsung membuka ruang kepada petugas kesihatan, anggota tentera dan pelbagai agensi untuk berkongsi pengetahuan serta pengalaman dalam meningkatkan kesiapsiagaan dan keupayaan memberikan perkhidmatan kepada masyarakat,” ujarnya.
Turut hadir ialah Asisten Ketua Staf J7, Laksamana Pertama Mohd Adzam Omar; Pengarah Eksesais, Kolonel Ismail Mohamed dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr Muhammad Hj. Jikal.

PP26 berlangsung di Sabah selama kira-kira dua minggu bermula 2 hingga 15 September, membabitkan 502 peserta termasuk 187 anggota ATM, 192 anggota AS, 75 anggota tentera dari Australia, Kanada, Jerman, Jepun, Korea Selatan, Singapura dan United Kingdom serta 48 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Sepanjang berada di Sabah, PP26 melaksanakan pelbagai program membabitkan bidang perubatan, kejuruteraan, pengurusan bencana dan libat urus komuniti, termasuk penambahbaikan kemudahan di SK Babagon Toki, Inanam dan Klinik Kesihatan Telipok.
Misi itu turut merangkumi latihan mencari dan menyelamat maritim, simposium perubatan dan pengurusan bencana, pertukaran kepakaran perubatan dan veterinar, program pendidikan dan kesihatan komuniti serta beberapa aktiviti kemasyarakatan.
Pacific Partnership yang dilaksanakan sejak 2006 adalah misi bantuan kemanusiaan dan kesiapsiagaan pengurusan bencana multinasional tahunan terbesar di rantau ini, dengan penyertaan Malaysia tahun ini menjadi kali keenam negara terbabit dalam misi berkenaan.




