
KOTA KINABALU – Ibu bapa perlu meningkatkan literasi digital bagi memastikan penggunaan teknologi dalam kalangan anak-anak dapat dimanfaatkan untuk pembelajaran, selain mengurangkan risiko seperti ketagihan peranti, buli siber dan penipuan dalam talian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, dunia digital kini menjadi sebahagian daripada kehidupan serta proses pembelajaran anak-anak, sekali gus memerlukan bimbingan berterusan daripada ibu bapa.
“Perkembangan teknologi membuka peluang luas kepada anak-anak untuk mengakses ilmu, meneroka pelbagai bidang pengetahuan, membina kreativiti dan mengembangkan potensi diri.
“Namun, perkembangan teknologi yang pesat turut membawa cabaran seperti penyalahgunaan media sosial, buli siber, penipuan dalam talian, penyebaran berita palsu, pencerobohan privasi serta pendedahan kepada kandungan yang tidak sesuai.

“Ibu bapa bukan sekadar perlu memantau penggunaan gajet, sebaliknya turut membimbing anak menggunakan aplikasi pendidikan, mencari sumber yang sahih dan membantu menyelesaikan tugasan digital.
“Usaha memperkasakan pendidikan digital juga perlu melibatkan kerjasama kukuh antara ibu bapa, sekolah, guru, komuniti dan seluruh masyarakat,” ujarnya semasa merasmikan Program Ibu Bapa Celik Pendidikan Digital di Dewan Al-Munir Darau, di sini pada Sabtu.
Tambah Mustapha, pendedahan terhadap pendidikan digital juga perlu berjalan seiring dengan bimbingan ibu bapa bagi memastikan teknologi dimanfaatkan secara bijak dalam kehidupan dan pembelajaran anak-anak.
“Saya menyeru agar pendidikan digital, teknologi dan kecerdasan buatan (AI) terus diperkukuhkan melalui pelbagai segmen dan peringkat, selaras dengan perkembangan teknologi global serta keperluan generasi masa kini.

“Saya mencadangkan agar ibu bapa mewujudkan peraturan penggunaan teknologi di rumah, termasuk menetapkan masa skrin, kawasan tanpa gajet dan waktu belajar supaya teknologi menyokong pembelajaran, bukannya mengganggunya.
“Pembelajaran sepanjang hayat juga penting bagi membolehkan ibu bapa meningkatkan kemahiran digital secara berperingkat melalui video tutorial, modul ringkas dan komuniti pembelajaran,” ujarnya.
Program berkenaan turut mendapat kerjasama Unit Khidmat Komuniti dan Wanita (UKKWA), Sahabat Wanita Sabah (SALWA Sabah), Sahabat Penggerak MADANI Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Sabah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Kinabalu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) serta Masjid Al-Munir..




