
MUKAH – Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di daerah ini diberikan ruang dan peluang mengetengahkan bakat serta potensi diri menerusi penganjuran Program “See The Ability Not Disability” di Dewan Serbaguna Perpustakaan Awam Mukah pada Sabtu.
Program yang berlangsung jam 9 pagi itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine.
Menurut Royston, pelbagai aktiviti menarik dianjurkan sepanjang program tersebut termasuk pertandingan Ekspresi Bakat, Seni Tanpa Sempadan, dan acara Mini Games bagi mencungkil kebolehan anak-anak istimewa berkenaan.
“Bersama-sama kita membina masyarakat yang inklusif, prihatin, dan sentiasa memberi ruang kepada seluruh lapisan masyarakat untuk menyerlahkan kebolehan masing-masing, terutamanya bagi anak-anak istimewa ini,” katanya.

Penganjuran program ini mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak dan agensi tempatan yang komited memperkasakan kebajikan golongan OKU di Mukah.
Hadir sama ialah Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip dan Miss Belia Sarawak, Tania Isabella McCabe.





