
MUKAH – Polis menahan dua lelaki warga asing yang disyaki mencuri sebuah motosikal menerusi satu serbuan di rumah pekerja ladang kelapa sawit Ulu Penipah pada malam Ahad.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden Muhamad Rizal Alias berkata, tangkapan terhadap suspek berusia 27 dan 40 tahun pada jam 11 malam itu dilakukan hasil maklumat awam serta risikan Bahagian Siasatan Jenayah.
“Polis turut merampas sebuah motosikal berwarna hitam yang pada asalnya dilaporkan hilang di Miri.
“Siasatan awal mendapati motosikal yang dirampas berkaitan dengan laporan kehilangan dibuat di Miri dan dipercayai dicuri sebelum dibawa ke Mukah,” katanya.
Berdasarkan hasil ujian saringan air kencing, menurutnya, kedua-dua suspek dikesan positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine serta didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
“Suspek kini dikenakan perintah reman selama tiga hari sehingga 10 September bagi membolehkan siasatan kemungkinan penglibatan suspek dalam kes jenayah lain di daerah berhampiran dijalankan,” ujarnya.
Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.






