
GERIK – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam peserta ekspedisi pendakian Trans GBB (Gunung Gerah, Bilah dan Bieh) yang dilaporkan hilang diperluaskan hari ini dengan menggerakkan aset darat, air dan udara bagi menjejaki kumpulan berkenaan di laluan sebelah Perak.
Kesemua mereka, termasuk empat beranak dan dua malim gunung, dilaporkan gagal tiba di Pos Kemar, Gerik pada Khamis lalu seperti dijadualkan, sebelum ahli keluarga membuat laporan polis selepas kumpulan itu gagal dihubungi sehingga 6 September.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman yang juga Komander Operasi SAR berkata, gerakan mencari dilancarkan serta-merta susulan laporan kehilangan berkenaan.
“Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan serta-merta untuk menjejaki kumpulan terbabit di kawasan laluan sebelah Perak,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, operasi hari ini membabitkan pelbagai agensi keselamatan dengan penggunaan aset darat, bot dan tinjauan udara bagi memperluaskan kawasan pencarian.
Menurutnya, pihak bomba menerima maklumat mengenai kehilangan kumpulan itu pada petang Ahad sebelum persiapan operasi dibuat untuk digerakkan pagi ini.
“Seramai lapan anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) bersama lima malim bomba telah digerakkan dari Jeti Trojan, Tasik Temengor menggunakan tiga bot menuju ke Pos Kemar, Gerik.
“Pada masa sama, 12 anggota Malim Gunung Perhutanan (MGP) dari Sungai Siput bergerak melalui jalan darat menggunakan kenderaan pacuan empat roda menuju ke lokasi sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, perjalanan pasukan MGP ke Pos Kemar mengambil masa kira-kira empat jam sebelum kedua-dua pasukan berkumpul bagi menyelaraskan gerakan pencarian.
“Semua pasukan akan menyelaraskan pergerakan di Pos Kemar sebelum pencarian diteruskan mengikut pelan operasi yang dipersetujui bersama agensi berkaitan.
“Mesyuarat penyelarasan operasi masih dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik bagi memperincikan strategi pencarian dan pembahagian tugas antara pasukan penyelamat,” katanya.
Menurut Sayani, Pos Kawalan Hadapan (PKH) akan diwujudkan di Pos Kemar, manakala Pos Kawalan Operasi (PKOP) dijangka ditempatkan sama ada di IPD Gerik atau Balai Bomba Gerik.
Usaha menjejaki keenam-enam individu itu turut diperkukuh dengan kesiapsiagaan Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM serta aset udara dari Pangkalan Udara Wilayah Utara, Bertam, Pulau Pinang yang dijadualkan melakukan tinjauan pada jam 2 petang.
“Tinjauan udara akan dimulakan dari lokasi terakhir keenam-enam individu itu dikesan pada 1 September sebelum pencarian diperluaskan ke arah Pos Kemar.
“Unit K9 JBPM juga berada dalam keadaan siap siaga, namun belum digerakkan ke kawasan pencarian kerana pasukan operasi masih menunggu maklumat lanjut berkaitan lokasi serta strategi pencarian,” katanya.
Operasi SAR itu turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), JBPM, Jabatan Perhutanan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Pasukan Gerakan Am (PGA) serta MGP.
Sayani berkata, kekuatan anggota dan jumlah agensi terlibat boleh ditambah dari semasa ke semasa bergantung kepada perkembangan operasi serta keperluan di lapangan.
Enam individu berkenaan menyertai ekspedisi pendakian Trans GBB yang merentasi tiga puncak di Banjaran Titiwangsa bermula 29 Ogos lalu.
Mereka ialah dua malim gunung, Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43, serta empat beranak iaitu Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, isterinya, Siti Zulaikha Norizan, 39, dan dua anak mereka, Diya Raisha, 13, serta Ahmad Raief, 9.
Kumpulan itu sepatutnya tiba di Pos Kemar pada Khamis lalu, namun gagal berbuat demikian sebelum mereka dilaporkan hilang dan tidak dapat dihubungi sehingga laporan polis dibuat oleh ahli keluarga.



