
PUTRAJAYA – Polemik berhubung pembiayaan projek jalan luar bandar tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai pertelingkahan politik antara Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), sebaliknya memerlukan penelitian menyeluruh terhadap aspek teknikal pengurusan kewangan kerajaan.
Penganalisis politik dan ekonomi bebas, Mohd Norazam Muhammad berkata, isu sebenar lebih berkisar kepada perbezaan antara peruntukan tahunan, komitmen kontrak berbilang tahun, obligasi pembayaran terkumpul serta penggunaan istilah yang berbeza oleh kedua-dua pihak.
Menurutnya, sehingga semua kategori kewangan itu diselaraskan dan diteliti mengikut projek, dakwaan bahawa KKDW berbelanja melebihi peruntukan secara tidak sah atau MoF sengaja menahan pembiayaan masih belum dapat dibuktikan secara konklusif.
“Sehingga semua kategori ini diselaraskan projek demi projek, dakwaan bahawa KKDW berbelanja secara haram melebihi peruntukan atau MoF sengaja menahan dana masih melampaui bukti tersedia.
“Kenyataan MoF pada 2 September lalu menyatakan tiada sekatan dikenakan terhadap peruntukan jalan luar bandar KKDW dan pembiayaan diluluskan telah disalurkan sepenuhnya,” katanya menerusi kenyataan, pada Jumaat.
Terdahulu, MoF pada 2 September lalu menegaskan tiada sekatan dikenakan terhadap peruntukan jalan luar bandar di bawah KKDW dan semua pembiayaan yang diluluskan telah disalurkan sepenuhnya.
Kementerian itu merekodkan peruntukan diluluskan sebanyak RM1.1 bilion berbanding perbelanjaan sebenar RM1.8 bilion pada 2023, RM1.3 bilion berbanding RM2 bilion pada 2024, serta RM1.6 bilion berbanding RM2.3 bilion pada 2025.
Bagi tahun ini pula, sebanyak RM2.1 bilion diperuntukkan dengan RM1.9 bilion telah dibelanjakan sehingga Jun lalu.
Mohd Norazam berkata, MoF melihat keadaan itu sebagai petunjuk bahawa KKDW mempunyai komitmen yang melebihi peruntukan tahunan, manakala kementerian berkenaan pula mempertikaikan penggunaan istilah tersebut dan bukan kewujudan tekanan pembayaran.
Menurutnya, perkara itu ditegaskan Setiausaha Akhbar Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Fadzmel Fadzil bahawa prosedur kewangan kerajaan serta Sistem Perakaunan Pengurusan Kewangan Kerajaan Bersepadu (iGFMAS) tidak membenarkan kementerian berbelanja sesuka hati melebihi had yang ditetapkan.
“Kelewatan projek era Covid-19 menyebabkan liabiliti kontrak dibawa ke tahun berikutnya; apabila kontraktor menyambung kerja dan mencapai kemajuan diperakui, kerajaan tetap mempunyai obligasi pembayaran.

“KKDW juga menyatakan ia menyusun semula peruntukan dalaman, mengehadkan komitmen baharu serta membatalkan atau mengekang projek sebelum memohon pembiayaan tambahan pada suku kedua 2026.
“Perbezaan itu fundamental. Peruntukan tahunan berbeza daripada komitmen kontrak, liabiliti terakru, tuntutan diperakui atau obligasi tahun hadapan,” katanya.
Katanya, sesebuah kementerian boleh mempunyai projek berbilang tahun yang diluluskan secara sah dengan jumlah komitmen melebihi peruntukan tunai bagi satu tahun tertentu tanpa keadaan itu sendiri membuktikan berlakunya perbelanjaan haram.
Bagaimanapun, beliau berpandangan, komitmen yang dibuat tanpa jaminan pembiayaan mencukupi pada masa hadapan boleh menunjukkan kelemahan dalam pengurusan komitmen walaupun setiap pembayaran akhirnya dibuat mengikut prosedur yang sah.
“Perlembagaan Persekutuan, Akta Tatacara Kewangan dan seni bina perakaunan kerajaan memerlukan kuasa Parlimen sebelum perbelanjaan diperuntukkan boleh melebihi had dibenarkan.
“Panduan perakaunan menetapkan peruntukan mesti kekal dalam had dibenarkan melalui undang-undang bekalan atau kuasa sah lain. Justeru, jadual agregat MoF membuktikan ketidakpadanan pembiayaan berulang, tetapi tidak dengan sendirinya membuktikan pelanggaran undang-undang,” katanya.
Mengulas persepsi isu tambahan RM300 juta MoF, Mohd Norazam berkata Kementerian itu menyifatkannya peruntukan tambahan bagi tahun 2026, manakala KKDW melihatnya sebagai pembiayaan sepatutnya disalurkan melalui Surat Kuasa Berbelanja (SKB) bagi menampung komitmen terdahulu dan tunggakan kontraktor.
Beliau berkata, kedua-dua tafsiran itu perlu disemak secara terperinci melalui dokumen rasmi termasuk SKB, sumber pembiayaan, tujuan penggunaan dana serta hubungannya dengan siling asal RM2.1 bilion.
“Penyelesaiannya harus forensik, bukannya partisan. MoF dan KKDW perlu menerbitkan rekonsiliasi bersama bagi setiap projek jalan luar bandar terjejas, menyenaraikan peruntukan tahunan, kuasa tambahan, waran, komitmen kontrak, arahan perubahan, tuntutan diperakui, pembayaran dibuat, tunggakan dan obligasi tahun hadapan.
“Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, jika perlu, harus menguji sama ada komitmen diluluskan, diramalkan dan dibayar mengikut kontrak serta peraturan kewangan. Menormalisasi komitmen tanpa pembiayaan kredibel akan melemahkan disiplin fiskal,” katanya.
Tambah beliau, isu berkenaan bukan sekadar pertikaian pentadbiran di Putrajaya berikutan kelewatan pembayaran boleh menjejaskan aliran tunai kontraktor Bumiputera, mengganggu pembangunan infrastruktur luar bandar dan menghakis keyakinan terhadap sistem perolehan kerajaan.
“Lindungi kontraktor yang menyiapkan kerja diperakui, pelihara kawalan Parlimen pada wang awam, tingkatkan ramalan komitmen berbilang tahun dan wujud pemantauan tunggakan masa nyata. Kredibiliti fiskal paling kukuh apabila kementerian boleh berbeza pandangan, menyelaraskan angka secara jelas dan telus serta menerbitkan bukti.
“Dalam kewangan awam, retorik mahupun hierarki tidak menyelesaikan lejar; dokumenlah penentunya dan itulah piawaian akauntabiliti yang seharusnya dipertahankan oleh setiap institusi kerajaan Malaysia,” katanya.






