BANGI – Lembaga Tabung Haji (TH) kini berada di landasan pemulihan yang tepat selepas melalui pelbagai proses pembersihan serta pengukuhan semula kedudukan kewangannya.
Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussin berkata, proses transformasi yang dilaksanakan bagi menjadikan TH memperkukuh kedudukan kewangan dan meningkatkan prestasinya dalam tempoh tiga tahun lalu.
Menurut beliau, antara impak positif terbabit adalah peningkatan keuntungan serta dividen yang diberikan kepada pendeposit.
“Kami sangat dalam perjalanan ke pemulihan dan kami telah melakukannya.
“Kami bersihkan balance sheet(kunci kira-kira), mula membangunkan balance sheet, telah mengembalikan segalanya dan memasang segala jenis (tadbir urus),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan TH di Hotel Tenera, pada Khamis.
Menurut beliau, hasil perubahan berkenaan dapat dilihat melalui prestasi TH yang kini semakin berkembang.
Abdul Rashid berkata, perkembangan itu menunjukkan kepentingan memastikan TH terus dikendalikan secara profesional dan mempunyai sistem kawal selia yang kukuh.
“Buktinya, kami meningkatkan keuntungan, kami meningkatkan dividen selama tiga tahun dan kami sangat yakin perjalanan ini adalah sepenuhnya di landasan yang tepat
“Kami sangat yakin bahawa kekuatan ini akan terus kekal. Pendekatan itu penting demi memastikan kepentingan serta keyakinan pendeposit terus terpelihara.
“Jadi adalah sangat penting supaya Tabung Haji dibiarkan beroperasi secara profesional, dikawal selia demi masa depan, untuk membolehkan kami meneruskan tugas kami,” katanya.



