
MIRI – Seorang wanita warga asing berusia 39 tahun ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah bilik berkunci di sebuah pusat komersial pada Jumaat.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.06 petang.
Susulan laporan tersebut, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng segera digerakkan ke lokasi kejadian.
Setibanya di lokasi, pasukan operasi bertindak membuka pintu bilik yang terkunci dari dalam itu sebelum menemui mangsa.
Wanita berkenaan kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tempat kejadian.
Anggota bomba bertindak mengangkat jasad mangsa dan menyerahkannya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.
Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan I Rorudi Umas itu ditamatkan sepenuhnya pada pukul 7.20 malam.






