
MAS GADING – Sebanyak 2 Projek Mesra Rakyat di Parlimen Mas Gading kini siap sepenuhnya sekali gus kemudahan tersebut meningkatkan keselesaan penduduk setempat.
Projek pertama yang disiapkan ialah kerja menaik taraf Dewan Gunasama Kampung Bitokan dengan peruntukan sebanyak RM50,000.
Kerja menaik taraf tersebut merangkumi pendawaian elektrik, mengecat semula bangunan, pemasangan lampu dan kipas serta kemasan jubin di bahagian pentas.
Selain itu, penduduk Kampung Perundang turut menerima manfaat menerusi pembinaan jalan pintas sepanjang 200 meter yang menelan kos pembinaan sebanyak RM87,328.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol berkata, usaha menyediakan dan menambah baik kemudahan asas di kawasan tersebut akan terus diberi perhatian.
Mordi berkata, kerjasama bersama pasukan PKMG akan diteruskan dalam usaha membawa lebih banyak projek pembangunan yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk.
Beliau berkata, kedua-dua projek berkenaan diharap dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh penduduk dalam menyokong aktiviti kemasyarakatan serta memudahkan urusan harian.





