
KUCHING – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak mengesan 2 kes kesalahan mempamerkan tanda harga yang mengelirukan di sekitar Kuching pada 26 Ogos lalu.
Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata, kedua-dua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 12(1)(a) Akta Perlindungan Pengguna 1999.
Matthew berkata, kes pertama dikesan di sebuah premis di Sejingkat apabila seorang peniaga mengenakan bayaran RM13.20 berbanding harga yang dipamerkan iaitu RM11.50.
Beliau berkata, peniaga tersebut berkeras dan enggan memberikan harga seperti yang dipaparkan, lantas menyebabkan pelanggan mengalami kerugian RM1.70.
Susulan itu, pihak penguat kuasa menyita satu salinan lesen ordinan perniagaan, empat unit resit jualan serta dua unit tanda harga bagi tujuan siasatan lanjut.
Matthew berkata, kes kedua pula dikesan di sebuah premis di Stutong yang membawa kepada penyitaan satu salinan lesen perniagaan dan satu pasang kasut dengan nilai rampasan RM29.90.
Mengikut peruntukan Seksyen 145 akta yang sama, individu yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 3 tahun, manakala syarikat perbadanan berdepan denda maksimum RM100,000 bagi kesalahan pertama.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai aduan berhubung salah laku peniaga boleh menyalurkan maklumat menerusi WhatsApp di talian 019-8488000 atau aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.







