
KUALA LUMPUR – Pengeluar komponen automotif tempatan, terutama pengilang bahagian kritikal, digesa meneroka peluang dalam teknologi robot humanoid sebagai langkah seterusnya untuk meningkatkan keupayaan industri ke tahap lebih tinggi.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) sudah diberi tanggungjawab meneliti peluang dalam industri teknologi humanoid yang berkembang pesat berikutan kaitannya dengan sektor automotif.
“Bagi kemajuan masa depan, kita berharap komponen dan komponen kritikal ini akan berganjak ke teknologi seterusnya iaitu humanoid,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Global Automotive and Technology Expo (GATE 2026).
Tze Tzin berkata, kerajaan juga akan memberi ganjaran langsung kepada syarikat yang meningkatkan kandungan tempatan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pemindahan teknologi menerusi semakan Mekanisme Insentif Tersuai Baharu (NCM).
Beliau berkata, NCM akan disesuaikan khusus untuk memperkukuh ekosistem automotif, termasuk menggalakkan pembangunan baharu dalam kenderaan elektrik (EV) dan memastikan Malaysia terus menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan EV.
“Kita akan menjadikan NCM lebih mudah; kurang kompleks dengan tumpuan kepada penyetempatan. Ganjarannya adalah syarikat ini mendapat insentif cukai iaitu duti eksais dikurangkan.
“Jika melaksanakan pembangunan bakat dan R&D, syarikat juga akan mendapat pengurangan cukai yang lebih besar,” katanya.







