
MIRI – Lebih 500 peserta mengambil peluang menyertai Program Bantuan Lesen Memandu (BLM) MyLesen Motosikal Kelas B2 anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Miri dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Permy Jaya pada Sabtu lalu.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata, inisiatif yang memasuki tahun ketiga pelaksanaannya itu memberi ruang kepada masyarakat terutamanya golongan B40 dan berpendapatan rendah untuk mendapatkan lesen motosikal pada kos serendah RM250.
Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Miri, kesemua peserta yang hadir telah berjaya menyempurnakan Kursus Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP01) dan turut lulus ujian teori pada hari yang sama.
“Pemilikan lesen memandu kini menjadi semakin penting kerana kemudahan itu bukan sahaja melancarkan urusan pergerakan seharian.
“Malah ia bertindak sebagai aset bernilai untuk masa depan khususnya bagi tujuan pencarian pekerjaan, peningkatan pendapatan dan kelangsungan aktiviti ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin
Di samping itu, katanya, program tersebut juga amat menekankan aspek keselamatan jalan raya bagi memastikan setiap individu berupaya menjadi penunggang yang berlesen, berhemah, bertanggungjawab serta saling menghormati pengguna jalan raya yang lain.
“Pada tahun 2025, lebih 21,000 kes kemalangan direkodkan di Sarawak. Justeru, inisiatif seperti ini amat bertepatan dengan aspirasi kerajaan untuk mengurangkan jumlah kematian akibat nahas jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang 2030,” katanya.
Choon Man menambah, kerjasama strategik bersama pihak JPJ tersebut telah banyak memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat dengan menawarkan pendedahan yang meluas berkaitan tahap pematuhan undang-undang dan disiplin di jalan raya.
Sehubungan itu, beliau amat berharap agar program berimpak positif sedemikian dapat diteruskan lagi pada masa hadapan demi membantu melengkapkan kemahiran mobiliti rakyat sekali gus menyokong pembangunan kendiri dan kesejahteraan hidup mereka.
Beliau turut menasihati kesemua peserta supaya kekal komited untuk melengkapkan proses selanjutnya bagi mendapatkan lesen kelas B2 tersebut dengan cemerlang.





