
MIRI – Cadangan pewujudan perkhidmatan bas ekspres terus rentas sempadan yang menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dan Miri bakal memperkukuh kesalinghubungan, mobiliti serta merancakkan sektor pelancongan kedua-dua buah negara.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata, inisiatif tersebut merupakan satu penyelesaian menang-menang dengan memanfaatkan kedudukan Brunei sebagai hab penerbangan antarabangsa dan Miri sebagai pintu masuk utama ke wilayah utara Sarawak.
Menurut beliau, perkara berkenaan telah dibincangkan secara teliti dalam pertemuan bersama Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi Brunei Darussalam, Datuk Seri Setia Awang Mohammed Riza Datuk Paduka Mohammed Yunos pada awal bulan ini bagi menyelaraskan usaha strategik tersebut.
“Pengukuhan mobiliti rentas sempadan, kesalinghubungan dan kemudahan perjalanan akan terus menggalakkan pertumbuhan pelancongan, ekonomi serantau serta merapatkan hubungan rakyat antara kedua-dua negara.
“Langkah ini juga akan membantu memaksimumkan pencapaian sasaran kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang dilanjutkan hingga tahun 2027 serta Tahun Melawat Brunei 2027,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Miri menjelaskan pihak Brunei turut menzahirkan minat yang mendalam untuk meneroka pelaksanaan perkhidmatan bas ekspres berjadual harian berkenaan.
Jelasnya, kemudahan tersebut bakal membolehkan Miri meraih manfaat daripada jaringan penerbangan antarabangsa Brunei yang menawarkan laluan penerbangan terus dari bandar utama dunia seperti Hong Kong, Beijing, Tokyo, Seoul, Jakarta, Manila dan London.
Keberkesanan konsep tersebut terbukti apabila Miri sebelum ini berjaya menerima ketibaan lebih 120 pelancong dari Hong Kong yang menyertai lawatan suai kenal berikutan wujudnya kemudahan penerbangan terus dari negara mereka ke Brunei sebelum meneruskan perjalanan darat ke bandar raya ini.
Bagi memudah cara pelaksanaan rancangan itu, Choon Man memaklumkan bahawa beliau kini sedang berhubung rapat dengan Kementerian Pengangkutan Malaysia berserta pegawai imigresen kedua-dua buah negara.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyatakan hasrat untuk meneroka potensi penyertaan Brunei dalam laluan pelayaran kapal persiaran serantau yang menghubungkan Malaysia, China dan Vietnam menerusi kerangka Kerjasama Ekonomi Sub-Rantau Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina Timur (BIMP-EAGA).
Brunei Darussalam kekal sebagai rakan strategik yang amat penting bagi Malaysia dan merupakan antara lima pasaran utama penyumbang kedatangan pelancong dengan rekod pendaftaran lebih 1.5 juta ketibaan pada tahun lalu.



