
KUANTAN – Seorang pemancing yang hilang selepas terjatuh di Sungai Pahang dekat Kampung Lebak Seberang, Temerloh, Rabu lalu ditemukan lemas pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, mayat mangsa, Muhamed Hanifa Mammu, 47, ditemui jam 7.05 pagi oleh anggota bomba kira-kira 150 meter dari lokasi dia disyaki terjatuh.
Menurutnya, mayat pemancing itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ketiga bermula jam 6.50 pagi tadi di kawasan mangsa dipercayai terjatuh ditamatkan,” katanya, lapor Sinar Harian.
Kejadian menimpa mangsa itu dilaporkan jam 11.09 tengah malam, Rabu lalu sebelum anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin, Temerloh ke lokasi untuk mengesan mangsa.
Operasi SAR hari pertama dibuat melalui pencarian di permukaan air sebelum ia ditangguhkan.
Pencarian mangsa disambung semula pagi semalam dengan selaman pertama dibuat anggota Pasukan Penyelamatan Di Air BBP Bukit Angin jam 9.24 pagi pada kedalaman 2.5 meter.



