PETALING JAYA – Kes penipuan dalam talian (scam) yang semakin kompleks memerlukan usaha berterusan demi memperkasa tahap kesedaran dan pemahaman rakyat agar tidak mudah menjadi mangsa golongan terbabit.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kempen kesedaran termasuk perkongsian kisah sebenar mangsa scam perlu mendapat liputan lebih meluas berikutan modus operandi sindiket berkenaan yang semakin rumit.
“Saya merasakan inisiatif dan kempen seperti ini mampu meningkatkan kesedaran serta pemahaman dalam kalangan rakyat, selain memberi pengajaran menerusi cerita dan kisah sebenar mangsa scam.
“Usaha seperti ini sepatutnya mendapat liputan lebih meluas kerana kes penipuan kadangkala sangat rumit dan sememangnya itu modus operandi yang digunakan scammer,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pelancaran Program Nasional Kesedaran Anti-Scam 2026 anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Fahmi memaklumkan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) setakat semalam telah meminta 476,000 kandungan daripada pelbagai kategori diturunkan sejak 1 Januari lalu.

Daripada jumlah itu, menurut beliau, sebanyak 302,139 kandungan berkaitan judi dalam talian telah diminta untuk diturunkan.
“Kategori kedua terbesar ialah kandungan bersifat scam dengan sebanyak 128,312 kandungan telah diminta untuk diturunkan. Ini merupakan angka di pihak MCMC.
“Daripada jumlah itu, 52 peratus membabitkan Facebook sahaja, iaitu sebanyak 67,115 kandungan scam. Angka itu sangat besar. Kedua tertinggi ialah TikTok dengan 50,642 kandungan scam,” katanya.






