Pindaan Akta Tabung Haji penting perkukuh tadbir urus, elak kelemahan berulang

PUTRAJAYA – Pindaan terhadap Akta Tabung Haji 1995 perlu diberi keutamaan susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH), bagi memastikan kelemahan tadbir urus yang dikenal pasti tidak berulang pada masa hadapan.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, perbahasan khas RCI TH di Dewan Rakyat tidak seharusnya tertumpu kepada isu menentukan pihak yang bersalah semata-mata, sebaliknya perlu menjadi titik tolak kepada reformasi institusi yang lebih menyeluruh.

Menurut beliau, antara reformasi paling penting ialah meneliti semula Akta Tabung Haji 1995 supaya selari dengan keperluan tadbir urus moden, kebertanggungjawaban awam dan perlindungan terhadap kepentingan jutaan pendeposit.

“Kegagalan tadbir urus sering tidak bermula dengan satu transaksi besar. Ia bermula apabila amaran kecil tidak diendahkan, semak dan imbang dilemahkan dan keputusan sukar ditangguhkan sehingga masalah menjadi terlalu besar. Inilah antara pengajaran terbesar perlu diambil daripada RCI TH.

“Cadangan Menteri Kewangan II supaya Akta Tabung Haji 1995 diteliti dan dipinda juga perlu diberi perhatian. TH menguruskan amanah jutaan umat Islam. Justeru, pemilihan pengurusan tertinggi dan anggota lembaganya tidak boleh berasaskan hubungan politik semata-mata,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Selasa.

Mengulas lanjut, Jais berkata, proses pelantikan pengurusan tertinggi dan anggota lembaga pengarah juga perlu diperkukuhkan melalui pindaan akta bagi memastikan hanya individu yang memenuhi kriteria kompetensi, integriti, pengalaman dan bebas daripada konflik kepentingan diberikan tanggungjawab menguruskan TH.

“Perbahasan ini juga tidak wajar disederhanakan kepada formula semua ahli politik tidak layak dan semua profesional secara automatik berintegriti. Ukuran sepatutnya ialah kompetensi, integriti dan pengalaman.

“Pada masa sama, kebebasan membuat keputusan, rekod prestasi, pengurusan konflik kepentingan dan akauntabiliti. Proses ‘sesuai dan layak’ perlu diperkukuh dan dilaksanakan secara telus,” katanya.

Dalam pada itu, Jais berpandangan, syor-syor yang dikemukakan RCI perlu diterjemahkan kepada tindakan konkrit melalui penambahbaikan perundangan, termasuk memperkukuh fungsi pemantauan, audit dan pelaporan kepada pihak berkuasa serta Parlimen.

Katanya, sekiranya terdapat bukti kesalahan, perkara itu perlu diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Sekuriti (SC) atau agensi berkaitan.

“RCI dilaporkan mengemuka 25 syor. Kerajaan wajar menerbitkan satu Matriks Pelaksanaan RCI yang boleh dipantau rakyat dan Parlimen. Bagi setiap syor, kerajaan perlu menjelaskan tindakan sudah dilaksanakan, kementerian atau agensi bertanggungjawab, tindakan masih tertangguh, tempoh pelaksanaan serta ukuran kejayaannya.

“Jika perlu, laporan kemajuan hendaklah dibentangkan kepada Parlimen setiap enam atau 12 bulan sehingga semua syor penting diselesaikan. Pada masa sama, audit forensik bebas wajar dipertimbangkan terhadap transaksi dan pelaburan dikenal pasti berisiko,” katanya.

“Sekiranya terdapat bukti kesalahan, perkara itu perlu diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Sekuriti (SC) atau agensi berkaitan.

“RCI TH sebenarnya ‘membuka buku lama’. Tanggungjawab kerajaan, Parlimen dan masyarakat sekarang ialah memastikan kita tidak sekadar membaca halaman kegagalan tadbir urus entiti masa lalu, tetapi menulis bab baharu mengenai pemulihan, akauntabiliti dan reformasi institusi TH,” katanya.

Sementara itu, mengulas berkenaan sidang khas Parlimen berkenaan Laporan RCI TH, Jais berpendapat, perbahasan khas yang disertai 39 Ahli Parlimen itu tidak seharusnya berubah menjadi medan pertikaian politik untuk menentukan pihak mana paling bersih.

Sebaliknya, jelasnya, ia perlu dimanfaatkan bagi memperkukuh akauntabiliti dan memperbaiki kelemahan dalam sistem sedia ada susulan RCI diwujudkan untuk mencari fakta, manakala Parlimen perlu menggunakan fakta itu bagi menentukan langkah pembetulan, memperkukuh undang-undang serta memastikan kegagalan sama tidak berulang pada masa hadapan.

“Pendekatan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim wajar diberikan perhatian. Antara perkara penting dibangkitkan beliau ialah kebimbangan RCI mengenai kemampuan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) memenuhi tuntutannya kepada TH yang membawa perbahasan keluar daripada politik masa lalu kepada isu kewangan mempunyai implikasi langsung terhadap masa depan TH.

“Lebih penting, beliau sekali lagi mencelah ketika penggulungan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bertanyakan bagaimana kerajaan akan memastikan hutang UJSB kepada TH akhirnya dibayar. Inilah semak dan imbang diperlukan.

“Rakyat bukan sahaja mahu tahu bagaimana masalah berlaku, pendeposit TH perlu mengetahui bagaimana wang mereka dipulihkan. Amir Hamzah beri jaminan komitmen kerajaan dan menjelaskan aset kurang berprestasi akan terus dipulihkan melalui UJSB dengan tadbir urus lebih baik. Apabila aset itu dipulihkan dan sesuai dikembalikan, ia boleh dikembalikan kepada TH,” katanya.

Related Posts

TH sambut baik pindaan Akta Tabung Haji, perkukuh tatakelola institusi

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menyambut baik langkah kerajaan meminda Akta Tabung Haji 1995 sebagai usaha memperkukuh tatakelola serta memastikan amanah umat Islam yang dipertanggungjawabkan kepada institusi itu…

Lebih lanjut

teruskan membaca
PH akan teliti mesej Kongres PKR, Persidangan DAP – Fahmi

PUTRAJAYA – Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi meneliti beberapa perkara yang dibangkitkan pada Kongres Nasional PKR dan Persidangan Kebangsaan DAP. Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pindaan Akta Tabung Haji penting perkukuh tadbir urus, elak kelemahan berulang

Pindaan Akta Tabung Haji penting perkukuh tadbir urus, elak kelemahan berulang

Belanjawan 2027 fokus tingkat pendapatan, peluang pekerjaan berkualiti

Belanjawan 2027 fokus tingkat pendapatan, peluang pekerjaan berkualiti

Dasar tidak popular perlu dilaksana demi kepentingan jangka panjang – Amir Hamzah

Dasar tidak popular perlu dilaksana demi kepentingan jangka panjang – Amir Hamzah

FELDA Jengka 24 sasarkan pemasangan 10,000 Jalur Gemilang

FELDA Jengka 24 sasarkan pemasangan 10,000 Jalur Gemilang

TH sambut baik pindaan Akta Tabung Haji, perkukuh tatakelola institusi

TH sambut baik pindaan Akta Tabung Haji, perkukuh tatakelola institusi

Pucuk pimpinan yang tegas lagi teguh diperlukan untuk perangi rasuah – Ayob Khan

Pucuk pimpinan yang tegas lagi teguh diperlukan untuk perangi rasuah – Ayob Khan